1 Kuwait dinar sama dengan 3 Usd tapi kenapa matawang Usd diguna lebih meluas?

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Setiap negara yang wujud hari ini pasti memiliki rizab dalam bentuk Dolar Amerika Syarikat (USD) untuk memudahkan urusan perdagangan global.

Malaysia, sebagai contoh, menggunakan USD dalam transaksi eksport dan import. Malah, hampir semua komoditi didagangkan berdasarkan nilai USD.

Ini bermakna mana-mana negara yang ingin berurus niaga perlu menggunakan USD.

Kenapa situasi ini berlaku dan mengapa tidak menggunakan mata wang tempatan sahaja?

Semuanya bermula pada tahun 1944 apabila negara-negara maju bersetuju untuk menubuhkan International Monetary Fund (IMF) dan World Bank.

1 Kuwait dinar sama dengan 3 Usd tapi kenapa matawang Usd diguna lebih meluas?

Pada masa yang sama, sistem kadar pertukaran tetap diperkenalkan di mana semua negara boleh menambat mata wang mereka kepada USD.

Ketika itu, USD boleh ditukar langsung kepada emas dengan nilai $35 untuk satu auns. Langkah ini diambil untuk mengelakkan negara-negara lain daripada menurunkan nilai mata wang mereka secara mendadak demi mendapatkan keuntungan daripada eksport.

Namun, menjelang era 1960-an, kedudukan USD sebagai mata wang utama dunia mula tergugat apabila rizab emas Amerika Syarikat semakin berkurangan.

Ini bermakna, mata wang USD yang beredar di luar Amerika Syarikat kehilangan sandaran yang kukuh. Akibatnya, banyak negara mula menukarkan rizab USD mereka kepada mata wang yang lebih stabil

. Tambahan pula, inflasi semakin meningkat akibat perbelanjaan besar Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam. Hasrat Amerika Syarikat untuk menjadi polis dunia hampir menghancurkan ekonominya sendiri.

Masalah ini diselesaikan apabila Amerika Syarikat membuat perjanjian dengan Arab Saudi untuk menjalankan jual beli minyak dalam USD. Sebagai pertukaran, Amerika Syarikat berjanji untuk memberikan bantuan ketenteraan kepada Arab Saudi apabila diperlukan.

Sejak itu, transaksi minyak mentah dunia mesti dilakukan dalam USD, menyebabkan setiap negara perlu menyimpan rizab USD untuk membeli minyak daripada Arab Saudi.

Selain itu, USD merupakan mata wang paling kuat di dunia, disokong oleh ekonomi Amerika Syarikat yang sangat kukuh. Dengan saiz negara, bilangan penduduk, dan kekuatan ekonominya, tidak menghairankan USD menjadi mata wang paling stabil di dunia.

Amerika Syarikat juga jarang menghadapi gangguan yang besar walaupun mereka mengamalkan kebebasan bersuara pada tahap yang tinggi. Jika ada masalah, Amerika Syarikat cepat mengatasinya, memberikan keyakinan kepada negara lain bahawa USD tidak akan melemah.

Tambahan pula, sebanyak $2.04 trilion digunakan dalam transaksi global, dan separuh daripada jumlah itu digunakan di luar Amerika Syarikat. Ini menunjukkan banyak negara lebih selesa menggunakan USD untuk perdagangan antarabangsa.

Kemelesetan ekonomi juga menyebabkan perdagangan global lebih cenderung menggunakan USD. Apabila kemelesetan berlaku, bank-bank di beberapa negara akan meningkatkan rizab USD mereka untuk mengelakkan kerugian apabila mata wang tempatan menurun.

Adakah terdapat mata wang lain yang boleh mencabar kedudukan USD?

Jawapannya adalah ya, iaitu mata wang Euro dan Yuan. Setakat ini, Euro memegang 20% daripada rizab mata wang global.

Kesatuan Eropah (EU), yang terdiri daripada beberapa negara dengan kekuatan ekonomi tersendiri, sebenarnya mampu menyaingi Amerika Syarikat.

Penggunaan satu mata wang khusus iaitu Euro dalam EU menjadikannya semakin kuat dan stabil

. Namun, kekuatan ini juga menjadi kelemahan kerana ia gagal menarik banyak negara untuk menjadikan Euro sebagai rizab mereka.

Yuan pula semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa apabila China mula bangkit sebagai kuasa ekonomi yang mampu menyaingi Amerika Syarikat. Namun, setakat ini, Yuan hanya memegang 2% daripada rizab mata wang dunia.

Ditambah pula dengan keinginan China untuk lebih menyendiri akibat pandemik Covid-19 yang berlarutan, ia menjadi cabaran besar bagi Yuan untuk menggugat kedudukan USD.

BACA: Bukan tempat letak tangan, ini fungsi sebenar pemegang dalam kereta dicipta