Seorang jurutera perisian tanah air telah berjaya mencuri perhatian setelah berkongsi tips untuk mendapatkan ‘kabel’ daripada syarikat terkemuka.
Tidak hanya memudahkan urusan, ‘kabel’ ini mampu membantu memberi peluang kepada pemburu kerja untuk ditemuduga di syarikat berkenaan.
‘Kabel’ yang dimaksudkan jurutera berkenaan boleh didapatkan dengan mudah menerusi platform atas talian, carikabel.com.
Menurut jurutera itu, platform berkenaan membenarkan pencari kerja untuk menghubungi sendiri orang dalam di sesebuah syarikat terkemuka.
“Kesemua syarikat yang terlibat mempunyai program rujukan pekerja dan perujuk (orang dalam) ini boleh menarik anda untuk bekerja di syarikat mereka.
“Perujuk ini bakal mendapatkan wang menerusi program tersebut, jadi mereka akan berusaha untuk membantu anda (pencari kerja),” ciapnya.
Tular di media sosial, tips tersebut dikongsi oleh lelaki yang dikenali sebagai Afrie Irham itu menerusi satu hantaran di akaun Twitter.
Untuk mendapatkan maklumat orang dalam ini, pencari kerja perlu melayari portal carikabel.com dan membuat bayaran sebanyak RM100.
Setelah membuat bayaran, pengguna akan mendapatkan akses kepada pengkalan data melibatkan syarikat terkemuka yang sedang mencari pekerja.
Setiap bayaran yang dibuat akan membenarkan pengguna untuk mengakses pengakalan data tersebut untuk setahun.
Antara syarikat terkemuka yang terlibat ialah Sime Darby Property, Maxis, Big Pay, Dell Technologies, TNG Digital (Touch n Go) dan banyak lagi.
Baca juga: “Anak aku tak minat masuk sekolah agama jadi aku isikan borang SBP, sekali suami label aku perosak”