Bask Bear ‘ejek’ depan-depan restoran McDonald Bukit Bintang tarik perhatian ramai

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Boleh dikatakan bahawa kebanyakan syarikat tempatan kini mengambil peluang untuk menarik pelanggan baru dengan teknik pemasaran yang agresif,

terutama selepas warga tempatan melancarkan kempen boikot terhadap syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sebuah gambar yang memaparkan teknik pemasaran yang sangat kreatif oleh jenama Bask Bear Coffee di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Apa yang menarik perhatian adalah pemilihan lokasi serta kandungan iklan yang dipaparkan dianggap genius dan agresif oleh orang ramai.

Ini kerana lokasi papan iklan yang dipilih terletak betul-betul di atas pesaing utama mereka, iaitu McDonald’s, dan kandungan visual serta ayat sinis yang digunakan berjaya menarik perhatian ramai.

Bask Bear Coffee dilihat sengaja meletakkan ulasan yang provokatif dan menggunakan nama karakter fiksyen pesaingnya sebagai pelanggan yang berpuas hati dengan produk mereka.

Konsep iklan ini juga diinspirasikan daripada pesaingnya, sehingga kelihatan seolah-olah pesaing mereka sendiri yang mempromosikan produk Bask Bear.

“Burger Bask Bear lebih bagus,” kata Ronald (pelanggan Bask Bear yang gembira), seperti yang tertulis pada papan iklan tersebut.

Penularan gambar iklan ini di media sosial telah menarik perhatian netizen, dan rata-ratanya memuji pendekatan publisiti yang diambil oleh Bask Bear dalam memasarkan jenama mereka. Iklan ini berpotensi menarik pelanggan baru melalui strategi tersebut.

Ramai yang berpendapat bahawa Bask Bear sememangnya berani mengambil risiko untuk bersaing secara agresif di gelanggang ‘musuhnya’.

BACA: Dengan hanya bersukan, wanita ini dapat durian runtuh emas 6 kilogram!