Mungkin pemilik tanah atau penduduk setempat sudah tidak dapat menahan sabar dengan tindakan segelintir individu yang terus membuang sampah di kawasan tersebut.
Ini dapat digambarkan melalui paparan doa pada kain rentang yang disifatkan penuh ‘insaf’ dan ‘pedih’
yang dipasang di sebuah tanah yang dipercayai milik persendirian berhampiran Kampung Limau Manis.
Terdapat sepotong doa pada kain rentang tersebut, berbunyi, “Ya Allah, Jadikanlah aku miskin tujuh keturunan jika membuang sampah di sini.”
Potongan doa ini cukup menggambarkan kemarahan penduduk terhadap tindakan individu tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di kawasan itu.
Tinjauan di lokasi mendapati kain rentang tersebut dipasang di tepi laluan alternatif penduduk dari Kampung Limau Manis, Desa Putra, dan kawasan sekitar ke Lebuh Wadi Ehsan.
Selain itu, tinjauan mendapati tiada sampah baharu di kawasan tersebut kecuali sisa sampah sarap dan sisa binaan yang telah dikambus serta diratakan.
Seorang penduduk setempat yang mahu dikenali sebagai Kamarul, 35, berkata kain rentang itu dipasang beberapa bulan lalu sebagai peringatan dan larangan untuk membuang sampah di situ.
Katanya, dia tidak pasti sama ada tanah itu milik persendirian atau tidak, namun tindakan memasang kain rentang itu dianggap tepat sebagai amaran dan peringatan tegas.
“Kawasan ini berdekatan dengan lereng bukit dan penduduk sekitar sering membuang sampah di sini sebelum ini, termasuk sisa-sisa binaan,” katanya.
Kamarul menambah, kawasan tersebut terletak kira-kira 50 meter dari Tanah Perkuburan Taman Raudhatul Jannah Khariah, Kampung Limau Manis, dan agak tersembunyi
BACA: ‘Masa ibu nak kahwin lain, ibu larikan kami adik beradik dari ayah sampai lost contact’