Alangkah terkejutnya seorang wanita apabila mengetahui satu rahsia besar disimpan oleh lelaki yang disifatkannya ‘suami sempurna’ selama 10 tahun mereka berkahwin.
Lebih memburukkan keadaan, lelaki berkenaan bertindak menghilangkan dirinya dan meninggalkan isteri serta tiga anak mereka begitu sahaja selepas rahsianya terbongkar.
Berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Bunga yang tergerak hati untuk menyelongkar peti besi yang dimiliki suaminya selepas lelaki berkenaan memakai gaun wanita.
“Ya Allah, menggigil tangan aku ketika menaip ini. Ingin luahkan kepada sesiapa pun, aku tak tahu.
Sebenarnya, aku sudah mendirikan rumahtangga selama 10 tahun dan telah dikurniakan tiga cahaya mata.
Pasangan aku seorang suami yang baik. Dahulu, aku selalu fikir bahawa diri ini merupakan perempuan yang paling beruntung.
“Kerana aku dikurniakan suami yang baik dan rumah tangga bahagia. Tutur katanya juga sentiasa lembut, perhatian, sentiasa memuji dan selalu mengambil hati aku. Tak pernah aku nampak apa-apa celanya. Namun di hari ini, rasa sesaknya dada aku ya Allah. Aku tak sihat. Jadi dalam pukul 11 pagi macam itu, aku balik rumah.
“Sebabnya aku dapat cuti sakit. Aku terkejut tengok ada kereta suami dekat rumah. Sedangkan pukul 7 pagi tadi, dia sudah pergi kerja. Aku terfikirlah mungkin dia juga tak sihat. Mati-mati ingat dia tengah tidur. Jadi aku bukalah pintu rumah kami sendiri tanpa memanggil dia. Lalu aku perlahan-lahan jalan menuju ke bilik.
“Pintu bilik macam terbuka separuh. Astaghfirullahalazim. Menjerit aku tengok suami bersolek dengan menggayakan gaun pendek seperti orang dangdut pakai itu. Warna merah jambu terang pula. Dia berdiri depan cermin, pusing ke kiri dan kanan sambil cakap, ‘Cantiknya kau’. Tiba-tiba dia menjerit tak berhenti. Ya Allah.
“Ketika itu, suami nampaklah aku buka pintu luas-luas. Ya Allah, aku takut. Memang takut sangat-sangat. Mengigil aku. SubhanAllah, dugaan apakah ini? Suami menjerit macam apa sudah. Aksi dia itu, tak mampu aku gambarkan. Bersama solekan tebal, nampak macam hantu pun ada. Aku ingat dia kata, ‘Kau, kau, kau buat apa ini?’
“Suami tanya pula mengapa aku tak pergi kerja. Selepas itu dia menjerit lagi sebelum cakap, ‘Kau pergi, kau pergi, kau pergi. Keluar! keluar!’. Ayat itu sahaja yang dia kata berulang kali. Terkejut dia gelarkan aku ‘kau’. Kalau tak sebelum ini, sentiasa panggil sayang. Sudahlah dia menjerit-jerit macam apa. Seperti orang tak betul.
“Ketika itu suami juga macam bercakap seorang diri dan bernafas laju-laju hinggalah aku menjerit, ‘Abangg!!!!’. Selepas itu, barulah nampak sepertinya dia kembali semula ke alam realiti. Teruslah dia cakap, ‘Sayang jangan beritahu orang lain, mak ataupun anak-anak. Abang suka macam ini, Tolong jangan cakap dekat sesiapa’.
“Aku tanyalah apa sebenarnya yang suami buat. Apa semua ini. Ya Allah. Kalau nak tahu, dia ada satu peti besi lama yang berkunci. Sejak dahulu, aku tak pernah tahu isinya. Rupanya, dalam peti besi itu ada semua barang-barang orang perempuan. Ya Allah, Ya Tuhanku. Tuala wanita juga ada. Dapat dari mana pun tak tahu.
“Suami nampak panik apabila aku selongkar barang dia. Coli dan seluar dalam juga ada! Warnanya terang-terang, memang bukan aku punya. Manalah dia dapat ni. Aku tak tahu nak buat apa. Aku menggigil, menangis. Dia juga menangis. Aku rasa pening nak pengsan masa itu. Cuba juga untuk bertenang namun aku tak mampu.
“Aku takut sangat ketika tengok suami dalam keadaan seperti itu. Malah untuk satu saat, pandangan dia macam nak bunuh aku sahaja. Aku berharap ini semua mimpi. Kenapa dia ada personaliti macam itu. Ya Allah, tolong aku. Tiba-tiba rasa takut gila dengan dia. Aku terus berlari keluar. Hidupkan kereta dan pandu tanpa arah.
“Sudahlah aku demam panas, dengan kepalanya pening. Aku cuba untuk bertenang. Nasib baiklah tak insiden. Aku berhenti dekat stesen minyak dan menangis sepuas-puasnya. Hampir sejam lebih jugalah. Aku buat keputusan mahu bersemuka dengan dia nak tanya apa masalahnya. Aku sudah bersedia untuk membantu dia.
“Tetapi selepas balik rumah, aku dapati suami sudah tiada. Bersama peti-peti sekali hilang. Sampai sekarang dia tak balik rumah. Tetapi sejujurnya, aku masih rasa takut dengan dia. Adegan itu masih terbayang di depan mata. Tak tahu macam mana kami nak bersemuka nanti.” Tulis Bunga (Bukan nama sebenar) di sebuah forum atas talian.
Baca juga Tengku Puteri Afzan selamat diijabkabul, ini latar belakang FD Idzham ramai nak tahu