Jika ada yang masih mengeluh tentang kesukaran mendapatkan kerja atau ingin menambah sumber kewangan tetapi tidak tahu caranya,
anda boleh mencontohi seorang wanita Orang Asli yang kini tular di aplikasi TikTok.
Nur Rafidah Man, wanita Orang Asli dari suku Jahut, kini terkenal dengan perniagaannya di TikTok menjual minyak herba Jungle Girl yang berasaskan sumber hutan.
Wanita yang berasal dari Kampung Penderas, Kuala Krau ini mendapat perhatian ramai apabila hasil jualannya dikatakan telah mencecah RM1 juta, dengan ribuan keuntungan diperoleh semasa sesi live.
Malah, yang lebih menarik perhatian adalah cara Nur Rafidah melakukan sesi live secara bersahaja.
Beliau tidak menggunakan telefon mahal, dan latar belakangnya hanya dinding rumah yang berconteng.
Ini jelas berbeza dengan sesetengah influencer yang menggunakan telefon canggih serta setup latar belakang moden dengan pencahayaan hebat.
“Dia live dengan cara yang sempoi. Background dinding rumah ada beg tergantung, kain putih, dan kain jemuran. Sekali live, boleh kumpul ribu-riban,” tulis seorang pengguna Facebook.
Menurut Harian Metro, Nur Rafidah telah mula berniaga sejak November tahun lalu, menghasilkan pelbagai produk sendiri berasaskan sumber hutan seperti kacip fatimah, tongkat ali, dan madu.
Dia juga gemar berkongsi tentang rutin hariannya di kampung, adat resam Orang Asli, serta pemandangan kampungnya di TikTok, yang menjadi pembuka rezekinya di platform tersebut.
Setakat ini, Nur Rafidah telah mempunyai lebih 160,000 pengikut di TikTok dan didoakan agar perniagaannya terus sukses.
BACA: Berang staff butik LV layan macam pengemis, wanita buat pembelian secara tunai RM368K