Hampir 40 peratus tanah bawah Kuala Lumpur dilitupi batu kapur, yang meningkatkan risiko bencana geologi seperti lubang benam jika pihak berkuasa gagal bertindak dengan segera.
Presiden Persatuan Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Batuan Malaysia (SEGRM), Dr Goh Thian Lai, berkata kebanyakan
kejadian lubang benam di sekitar ibu kota berpunca daripada aktiviti manusia seperti paip pecah dan penerowongan, selain faktor semula jadi.
Sehubungan itu, pakar geobencana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menyarankan pihak berkuasa,
terutamanya kerajaan, agar merancang pembangunan di kawasan berisiko dengan lebih sistematik pada masa akan datang.
Beliau berharap pihak berkuasa memberikan perhatian lebih terhadap keadaan bawah tanah, termasuk dengan menjalankan pemetaan bawah permukaan yang meluas.
“Jurutera dan ahli geologi profesional perlu dilibatkan dalam setiap projek pembinaan dan pemetaan bawah permukaan yang lebih komprehensif juga perlu dilakukan.
“Untuk pembangunan di kawasan yang berlapis batu kapur, siasatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas tanah tersebut untuk mengenal pasti rongga dan retakan.
“Selain itu, kerja-kerja identifikasi di tapak dan penggunaan kaedah geofizik juga perlu dilakukan untuk mengesan potensi lubang benam. Setelah dikenal pasti,
langkah-langkah kejuruteraan seperti menyuntik epoksi, konkrit, atau bahan grouting (turapan) ke dalam rongga akan diambil untuk mencegah berlakunya lubang benam,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, ini bukan kejadian baharu sebaliknya lubang benam telah berlaku sejak sekian lama.
Antara kawasan yang pernah mengalami lubang benam akibat faktor manusia ialah Jalan Pudu-Hang Tuah sekitar kawasan Imbi pada 2014, Jalan DBP (2019), Taman U-Thant (2020), Sri Hartamas (2021), dan AU3 Ampang (2022).