Penyanyi nasyid ‘Sepohon kayu’ bergelar Datuk, rupanya ini sumbangannya kepada negara

Oleh NADIA HARON

Anggota kumpulan nasyid popular, Saujana, Dr Idzu Baharin, yang terkenal dengan lagu ‘Sepohon Kayu’, kini bergelar Datuk

setelah menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, semalam.

Dr Idzu, yang nama sebenarnya Khairul Idzwan Baharin, menyifatkan anugerah tersebut sebagai hasil

daripada pengorbanannya dalam menyumbang kepada negara melalui industri Perubatan Regeneratif.

“Alhamdulillah, saya sangat menghargai dan bersyukur atas gelaran Datuk ini.

Penyanyi nasyid 'Sepohon kayu' bergelar Datuk, rupanya ini sumbangannya kepada negara

Ia memberi saya semangat baru serta suntikan motivasi untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan menyumbang kepada pembangunan industri perubatan regeneratif negara,” katanya kepada Berita Harian.

Idzu adalah pengasas syarikat perubatan Cell Tissue Technology Sdn Bhd yang telah ditubuhkan selama 13 tahun. Syarikat ini adalah peneraju utama dalam bidang Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif di Malaysia sejak penubuhannya.

Selama 30 tahun terlibat dalam dunia perubatan, keusahawanan, dan seni, Idzu telah menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Antara pengiktirafan tersebut termasuk SOONICORN oleh MOSTI (2024), Top 30 Usahawan Techno Dreams oleh MTDC (2023), Malaysia’s New Industrial Plan 2030 oleh MITI dan MIDA, serta sumbangan teknologi terkini 3D Bioprinters bernilai RM0.5 juta kepada UKM. Beliau juga dianugerahkan sebagai Diplomat Malaysia Pertama oleh American Board of Regenerative Medicine (ABRM).

Pada tahun 2016, Idzu mendapat Pengiktirafan sebagai Malaysia’s First Manufacturer of Autologous Tissue Engineered Human Skin dan First Autologous Tissue Engineered Human Skin oleh The Malaysia Book of Records (MBOR).