Pokok mangga adalah salah satu jenis buah-buahan bermusim yang cukup digemari oleh masyarakat Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Tidak hanya enak dimakan begitu sahaja, buah ini juga boleh dinikmati sebagai jus minuman atau dijadikan bahan tambahan dalam masakan seperti pencuci mulut.
Memandangkan harga buah ini semakin mahal, pasti ada yang pernah terfikir untuk menanam sendiri pokok mangga namun tidak mengetahui bagaimanakah caranya.
Untuk menjawab persoalan ini, berikut kami kongsikan lima petua menanam pokok Mangga dalam pasu berdasarkan hantaran dimuat naik di laman web Rentas Asia.
1. Saiz pasu
Pilih saiz pasu yang berukuran besar iaitu 15 sentimeter (cm) tinggi dan panjang 11 cm. Jika tiada, pasu yang bersaiz lebih kecil sedikit juga boleh digunakan.
Bagi memastikan tanaman tahan lama, boleh menggunakan pasu seramik untuk menanam pokok Mangga.
2. Semaian benih
Jenis tanah hitam atau topsoil perlu digunakan untuk menanam pokok Mangga di dalam pasu bagi memastikan tanaman dapat berbuah dengan lebat dan juga cepat.
Pastikan anda mengelak dari menggunakan tanah sisa kelapa sawit kerana ia cepat mengeras dan dijangkakan tidak sesuai diguna untuk semaian pokok di dalam pasu.
Nisbah yang sesuai untuk menanam pokok Mangga di dalam pasu adalah; 70% topsoil : 10% sekam padi : 10% sekam padi bakar : 10% sabut kelapa kerap (cocopeat).
3. Pemilihan benih
Pilih jenis benih mangga yang cepat dan juga rajin berbuah seperti benih dari jenis Chokanan, Harum Manis, Mangga Nam Dok Mai, Red Star ataupun Mangga Taiwan.
Yang penting, beli benih yang sudah dikahwinkan agar cepat berbuah. Jika ditanam terus dari biji mangga, ia akan lambat berbuah sedikit iaitu sekitar 4 hingga 6 tahun.
4. Baja
Penggunaan baja sangat mempengaruhi pokok Mangga yang ditanam dalam pasu agar berbuah dengan lebat. Anda boleh menggunakan baja subur jenis NPK 15.15.15.
Hal ini kerana kandungan baja dalam campuran ini lebih seimbang dan amat sesuai untuk pertumbuhan tanaman pokok buah yang stabil, baik dan juga sihat.
Manakala untuk baja penggalak pula, boleh menggunakan baja buah NPK 12.12.17 berwarna biru yang mudah didapati di kedai pertanian, kimia atau secara atas talian.
5. Penjagaan
Petua penjagaan pokok Mangga yang ditanam dalam pasu adalah dengan menyiram air secara kerap agar pokok sentiasa segar selain tanah juga tidak menjadi kering.
Baja foliar dan racun Malatation atau Decis juga perlu disembur sekali sekala untuk mengelakkan serangan serangga atau ulat pada daun dan pucuk muda tanaman.
Baca juga: ‘Orang nak duduk, dia boleh jeling’ Ubai bengang individu selamba baring di kerusi KLIA