Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran mengenai kewangan pasti mengetahui kestabilan nilai emas sebagai salah satu aset pelaburan.
Tidak hanya menjamin keuntungan yang lumayan, pelaburan emas juga mampu membantu orang ramai dalam menghadapi krisis ekonomi seperti kenaikan inflasi.
Selain membeli aset emas pelaburan yang boleh dijadikan barang perhiasan, pelabur juga sering digalakkan untuk mendapatkan logam itu dalam bentuk bar jika mahu keuntungan lebih.
Namun begitu, para pembeli emas pelaburan ini pasti tertanya-tanya bilakah waktu terbaik untuk mereka menjual semula aset ‘mengunung’ yang telah lama disimpan itu.
Tidak seharusnya disimpan sehingga pemilik ‘mati’, berikut kami kongsikan tiga masa yang terbaik untuk menjual aset emas menurut pemilik akaun Facebook Emas Public Gold.
“Perkara asas yang penyimpan emas perlu buat sebelum mulakan simpanan emas adalah tentukan tujuan dan matlamat simpanan, sama ada jangka pendek panjang.
“Bila sudah ada matlamat dan tujuan yang jelas, pasti kita akan tahu bila waktu sesuai nak jual emas dalam simpanan,” jelas pemilik akaun berkenaan.
1. Kecemasan
Pemilik boleh menjual emas pada waktu darurat atau kecemasan yang memerlukan tunai segera. Hal ini kerana, emas sangat mudah dicairkan bagi mendapatkan tunai.
2. Pelaburan
Bagi mendapatkan peluang untuk menjana kentungan yang lebih lumayan, pemilik emas boleh menjual atau memajak simpanan mereka itu untuk membeli aset lain.
Dijadikan seperti modal pusingan berniaga, pelabur juga boleh membeli aset yang lebih menguntungkan sebagai contohnya, emas yang lebih berharga atau hartanah.
3. Sudah capai matlamat
Menurut pemilik akaun, pelabur emas juga boleh menjual aset mereka apabila sudah mencapai matlamat seperti yang telah ditetapkan sebelum memulakan simpanan.
Contohnya matlamat bagi mengumpulkan tabungan persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung perkahwinan, atau tabung deposit beli rumah dan sebagainya.
“Jadi tanpa tiga sebab ini, amatlah tidak bijak untuk menjual emas simpanan anda. Penyimpan emas yang berilmu tidak akan menyimpan emas sampai mati.
“Hal ini kerana emas merupakan alat kewangan yang digunakan untuk kita mencapai matlamat kewangan dan bukannya sekadar ‘buy low sell high’.” Jelasnya lagi.
Baca juga: Penyanyi nasyid ‘Sepohon kayu’ bergelar Datuk, rupanya ini sumbangannya kepada negara