Pengarah Datuk Yusof Haslam memaklumkan tidak tahu-menahu tentang berita anaknya, Syamsul Yusof dikatakan memfailkan perceraian terhadap Ira Kazar hari ini.
Katanya, dia dan isterinya, Datin Patimah Ismail telah terputus hubungan dengan Syamsul hampir lima tahun lalu
sekali gus tidak mengetahui sebarang perkembangan terkini anak sulung mereka itu.
“Memang saya baru tahu pasal (permohonan cerai) ini daripada awak. Kalau awak tak maklumkan saya langsung tak perasan.
“Syamsul dah lama tak hubungi kami apatah lagi balik ke rumah ini.
Jadi, untuk saya komen hal ini macam tak kena pula sebab saya dan ibu Syamsul tak dapat perkhabaran apa-apa.
“Sama ada benar atau tidak Syamsul failkan perceraian terhadap isterinya, lebih baik tanya tuan punya diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, meskipun terkejut mendengar khabar tersebut, dia hanya mampu mendoakan kesejahteraan Syamsul.
Akui Yusof, sebagai ibu bapa dia dan isteri tidak pernah membuang atau mengetepikan Syamsul sebaliknya hanya menunggu pelakon itu pulang ke pangkuan keluarga.
“Saya sendiri dah sampai ke tahap reda. Apabila dia berkahwin baharu dan kemudian bercerai dengan Puteri Sarah, saya cuma mampu berlapang dada kerana anggap semua ini ketentuan Allah.
“Sebelum ini dia yang nak kahwin dua, kita boleh cakap apa lagi? Sekarang apabila dikatakan bercerai dengan isteri baru, saya cuma mampu doakan kesejahteraannya.
“Tiada bapa yang mahu darah daging dalam kesusahan. Saya dan emaknya tetap harapkan yang terbaik buat Syamsul,” ujarnya.
Terdahulu pengarah berusia 40 tahun itu dikatakan sudah memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, hari ini.
Menurut laporan sebuah portal berita, tindakan tersebut dibuat selepas tiada lagi persefahaman antara mereka.
Terdahulu, sekitar Oktober tahun lalu pernah timbul khabar angin mengenai perceraian pasangan terbabit.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang kenyataan atau maklum balas daripada kedua pihak, bahkan anak kepada pelakon Kazar Saisi itu dikatakan sudah berbadan dua.
Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin di Selatan Thailand pada
6 Januari tahun lalu.
Perkara itu disahkan Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Rentetan daripada itu, isteri pertama Syamsul iaitu Puteri Sarah memfailkan perceraian sebelum mereka rasmi berpisah pada 14 Jun 2023.
BACA: Iqram Dinzly dedah punca tak ada niat nak masuk campur hal rumah tangga rakan artis tapi..