Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima wang deposit tanpa lesen tahun lalu.
Tertuduh, Nurmaisarah Azman, 36, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Menurut pertuduhan, Nurmaisarah didakwa menerima wang deposit sebanyak RM23,000 tanpa lesen sah di bank di sini, antara 15 Julai hingga 14 Ogos 2023.
Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2)
akta yang sama, iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Nabila Mohd Noordin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan agar tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan.
Mahkamah juga menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
BACA: Mercedes Benz Malaysia berdepan denda RM1 juta, rupanya ini yang jadi