Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, diminta untuk ‘menoleh ke belakang’ sebelum membincangkan isu kebebasan bersuara di negara ini.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Mahathir boleh membandingkan pentadbirannya dahulu dengan kerajaan Madani hari ini yang ibarat langit dengan bumi.
Kata Fahmi, beliau berasa “kasihan” melihat ahli politik tersebut mengkritik kebebasan bersuara tetapi pada masa yang sama mengabaikan corak pemerintahannya pada masa lalu.
“Alaaa… kasihan Dr Mahathir, dia masih boleh bersuara dan tiada sesiapa yang menghalangnya mengeluarkan kenyataan,
atau (tiada) siapa yang menghalangnya menghadirkan diri ke mana-mana acara.
“Dia juga masih bebas bergerak untuk hadir atau tidak hadir (di mana-mana). Dia bebas mengeluarkan kenyataan.
“Jauh macam langit dan bumi (jika dibandingkan) antara zaman pentadbiran sekarang dengan zaman pentadbiran (Mahathir) dahulu,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyatakan, beliau masih ingat bagaimana corak kerajaan di bawah Mahathir mentadbir negara, termasuk ketika berhadapan dengan penunjuk perasaan.
Di bawah pimpinan Mahathir juga, katanya, ada akhbar yang ditutup oleh pihak berkuasa kerana dianggap lantang mengkritik kerajaan.
“Orang yang berdemonstrasi di jalan raya dipukul, ditangkap, ditendang, dipenjarakan,” katanya lagi.
Dalam catatan di blognya – yang dibuat selepas pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, didakwa di bawah Akta Hasutan dan menjelang sambutan Merdeka – Mahathir menegaskan kemerdekaan bermaksud bebas daripada dikuasai oleh orang lain, tekanan, dan kezaliman kerajaan.
Mengaitkan kemerdekaan negara dengan perjuangan orang terdahulu menentang British, ahli politik berusia 99 tahun itu mendakwa rakyat Malaysia ketika ini masih tidak bebas.
Mengulas lanjut, Fahmi menggesa ahli politik yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu supaya mengimbau kembali sejarah pentadbirannya yang disifatkan sebagai kuku besi.
Tindak-tanduk Mahathir itu, katanya, boleh dilihat pada cara dia memperlakukan Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.
“Dua puluh enam tahun lalu, timbalan perdana menteri (Anwar) dilucutkan jawatan dan kemudian diheret ke mahkamah atau dipukul dalam tahanan,” katanya.