Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia selepas pembedahan membuang batu dalam pundi hempedu yang dilakukan oleh seorang doktor palsu gagal.
Remaja tersebut dibawa ke sebuah klinik yang dikendalikan oleh ‘doktor’ tersebut di Madhaura
pada malam Jumaat oleh keluarganya, selepas mengadu muntah dan sakit perut.
Menurut laporan India Today, ahli keluarga mangsa berkata doktor tersebut melakukan pembedahan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
Mereka juga mendakwa doktor tersebut melakukan pembedahan dengan merujuk video YouTube di telefon bimbitnya.
Keadaan mangsa semakin teruk semasa pembedahan dilakukan.
Apabila keluarga mangsa bersuara, doktor tersebut dilaporkan menempelak mereka.
Akhirnya, doktor tersebut memutuskan untuk menghantar remaja itu ke hospital di Patna, tetapi mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Doktor tersebut kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan meninggalkan mayat mangsa.
Keluarga mangsa telah membuat laporan polis terhadap doktor tersebut atas dakwaan cuai dan penyelewengan yang menyebabkan kematian.