Permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan mengenai empat tuduhan salah guna kuasa yang membabitkan RM232.5 juta akan diputuskan pagi ini.
Keputusan akan dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Azizah Nawawi,
bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah, dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah sebanyak RM232.5 juta bagi BERSATU.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit.
Keputusan itu diambil selepas empat pertuduhan tersebut didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Namun, pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Dalam permohonan notis usulnya untuk semakan, Muhyiddin menyatakan bahawa keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan, didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan sebanyak RM232.5 juta.
Beliau dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Selain itu, Pengerusi PN itu masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM200 juta.
BAC: Cari pendapatan tambahan, bekas tentera laut menyamar jadi doktor palsu sejak 2004!