Nora Ariffin, yang nama sebenar ialah Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, menceritakan semula kejadian ketika dia diceraikan
oleh bekas suaminya selepas menerima panggilan telefon yang meminta untuk menceraikannya.
“Ketika kejadian, kami baru selesai solat Subuh bersama, dan dia menerima panggilan telefon yang memintanya untuk menceraikan saya,” katanya.
“Saya sangat terkejut dan tertanya-tanya apa kesalahan saya pada waktu itu. Namun, saya tahu siapa yang memberi arahan itu.
“Disebabkan terlalu emosi, saya terus merakam perceraian tersebut dan memuat naiknya di media sosial tanpa memikirkan implikasinya,” katanya.
Nora Ariffin mengakui bahawa berkongsi rakaman suami semasa menceraikannya adalah satu kesilapan, dan dia telah memohon maaf kepada pihak yang terlibat.
Menurutnya, bekas suaminya telah memaafkannya dan hubungan mereka kini dalam keadaan baik.
“Saya sedar tindakan saya adalah satu kesilapan. Sebagai manusia, saya tidak dapat mengawal emosi dan berfikir secara rasional.
“Situasi pada waktu itu sangat mengejutkan dan menyebabkan trauma kepada diri saya. Ia berlaku di luar kawalan saya.
“Tujuan saya berkongsi video itu hanyalah untuk menjelaskan status terkini saya. Namun, saya tidak boleh berkongsi lebih lanjut mengenai apa yang berlaku.
“Bagaimanapun, saya sudah memohon maaf kepada bekas suami dan dia telah memaafkan saya. Dia memahami keadaan masa itu, dan kini hubungan kami baik-baik saja,” ujarnya.
Penyanyi lagu “Dipersimpangan Dilema” ini juga menyatakan bahawa dia enggan mendedahkan individu yang memaksa mereka untuk berpisah dan tidak mahu berkongsi tarikh sebenar pernikahan mereka, kerana menganggap ia adalah rahsia peribadi mereka.
Sebelum ini, Nora Ariffin telah memuat naik rakaman video bekas suaminya, Dr Rushdi Ramli, yang menceraikannya dengan talak satu di Instagram.
Dia menjelaskan bahawa perceraian tersebut berlaku sebelum video berdurasi 52 saat itu dimuat naik dan menjelaskan bahawa perpisahan mereka terjadi disebabkan paksaan dari seseorang.
BACA: Kalau dah jodoh memang tak kemana, pengetua sekolah 68 tahun kahwini bekas murid