Patutlah ada persamaan, rupanya pengasas Al-Arqam pernah jadi Bendahari Pemuda Pas!

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

Sejarah pergerakan Darul Arqam bermula selepas Ustaz Ashaari Muhammad tewas dalam Pilihan Raya Umum di Bangsar, Kuala Lumpur pada tahun 1964.

Sejak itu, beliau mula memberikan tumpuan kepada kegiatan ekonomi sehingga dilantik sebagai Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1968.

Walau bagaimanapun, sejak tahun 1968, beliau mula membentuk halaqah usrah sendiri yang berpusat di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Oleh kerana markas mereka merupakan sebuah rumah berwarna putih di Datuk Keramat, kumpulan ini mula dikenali sebagai “Usrah White House” atau “Usrah Rumah Putih.”

Selepas dua tahun bergerak, timbul tuduhan bahawa mereka adalah kumpulan ajaran sesat.

Patutlah ada persamaan, rupanya pengasas Al-Arqam pernah jadi Bendahari Pemuda Pas!

Maka, pada 28 Februari 1971, mereka membentuk jemaah secara rasmi dan menamakan kumpulan mereka sebagai Darul Arqam.

Ustaz Ashaari Muhammad, pengasas dan pemimpin Darul Arqam, adalah bekas guru agama kerajaan yang dilahirkan di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan pada 30 Oktober 1937.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1952 dan belajar di Madrasah Hishamuddin, Klang sehingga 1958.

Setelah itu, beliau mendalami agama dengan Ustaz Mohd Khairillah bin Muhammad sehingga menerima Aurad Muhammadiyah daripada anak Kiyai Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi.

Hubungan rapat beliau dengan Pesuruhjaya PAS Singapura, Ustaz Mohd Taha bin Sheikh Fadhlullah as-Suhaimi sejak 1958 telah membawa beliau aktif dalam PAS di Selangor. Beliau menamatkan kerjayanya sebagai guru agama kerajaan di Sekolah Melayu Kampung Teluk Udang, Klang pada tahun 1964 kerana menjadi calon PAS dalam pilihan raya di Bangsar.

Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, dengan jawatan terakhir sebagai Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1968.

Gerakan politik PAS yang sangat tertumpu kepada isu-isu politik menimbulkan ketidakpuasan hati beliau. Pada waktu itu, politik pasca merdeka berpusat pada perjuangan kemerdekaan (1951-1960) dan pembentukan Malaysia (1961-1965). PAS memperjuangkan tertegaknya negara Islam, pelaksanaan syariat, hak ketuanan orang Melayu dan menolak kerakyatan jus soli, sebelum isu percantuman mencetuskan kontroversi Melayu Raya.

Keadaan ini menyebabkan isu pembangunan ekonomi dalam organisasi PAS tidak menjadi fokus, sedangkan Ustaz Ashaari berpegang bahawa gerakan dakwah perlu mempunyai asas ekonomi yang kukuh.

Kecewa dengan kegagalan pemimpin PAS untuk memberi perhatian kepada pandangan beliau, pada tahun 1968, beliau mula membentuk halaqah usrah sendiri di Datuk Keramat. Perubahan politik selepas tragedi 13 Mei 1969 sekali lagi menyebabkan gagasan beliau diabaikan. Pada 28 Februari 1971, beliau menubuhkan Darul Arqam.

Pergerakan Darul Arqam, yang popular pada akhir 1970-an dan 1980-an, berpusat di Sungai Penchala, Kuala Lumpur, yang dijadikan Perkampungan Arqam pada tahun 1975.

Darul Arqam dipimpin oleh Majlis Syuyukh yang diketuai oleh Ustaz Ashaari sebagai Amir atau Sheikhul Arqam, dibantu oleh dua Timbalan Amir.

Pergerakan utama dakwah Darul Arqam adalah dalam bidang ekonomi, sebelum berkembang dalam bidang pendidikan, media, kebajikan sosial, dan kesenian. Secara keseluruhan, Darul Arqam dikatakan mempunyai lebih daripada 10,000 orang pengikut dan cawangan di 16 buah negara di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1986, pihak berkuasa agama mula memberi perhatian kepada pergerakan Darul Arqam kerana didakwa menyeleweng dari aqidah Islam.

Mereka dituduh mengajar dan mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan sebagai sesat. Keadaan menjadi lebih tegang apabila Ustaz Ashaari mendakwa beliau akan menguasai politik Malaysia.

Darul Arqam kemudian dituduh menubuhkan kumpulan tentera yang dipanggil Tentera Bandar yang berpusat di Thailand. Akibatnya, pada September 1994, 18 orang pemimpin Darul Arqam ditahan di bawah ISA, termasuk Ustaz Ashaari yang ditahan di Thailand.

Selepas beberapa ketika ditahan, pemimpin utama Darul Arqam dikenakan tahanan kediaman terhad di Labuan selama 10 tahun dan Darul Arqam diharamkan pada 21 Oktober 1994.

BACA: Terlalu bergantung dengan ‘cashless’, punca ramai rakyat China kebulur tak mampu beli roti