Pendakwah bebas Mohammad Kazim Elias, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, pada Isnin mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada PAS
kerana kecewa dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh pucuk pimpinan dan anggota parti itu sejak sekian lama.
Beliau menyatakan bahawa fitnah dan tohmahan tersebut semakin menjadi-jadi selepas beliau ditawarkan jawatan sebagai anggota
Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini, walaupun beliau belum membuat keputusan mengenai pelantikan tersebut.
Apa yang lebih mengecewakan, katanya, adalah walaupun beliau masih anggota PAS, beliau terus diserang dengan panggilan yang tidak sesuai seperti “binatang” dan “munafik.”
Malah, ada pemimpin parti itu yang menyamakannya dengan “kambing yang dimakan serigala,” “agamawan celaru,” serta menuduhnya menjadi “berhala” atau “patung sembahan” dalam Umno.
“Kalau mereka mengatakan saya masih PAS, atau selepas kenyataan ini mereka mengatakan saya telah dipecat, tidak kiralah sama ada saya masih anggota PAS atau telah dipecat, saya dengan ini mengisytiharkan saya keluar daripada PAS dan tidak menyokong apa yang telah dibuat fitnah dan kata-kata nista terhadap seorang yang cuba menegakkan Islam melalui bidang dakwah.
“Saya masih sayang kepada PAS yang dahulu, yang dipimpin oleh arwah Ustaz Fadzil Noor, yang betul-betul memperjuangkan konsep Islam yang sebenar, tetapi saya kecewa dengan PAS sekarang yang apabila dinasihati, ditegur, terus dicop sebagai ‘barua’ dan ‘anjing’ Umno sedangkan saya tidak pernah mendaftar sebagai ahli Umno,” katanya.
Ustaz Kazim ditemui selepas bertemu selama hampir sejam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di bangunan Parlimen berhubung pelantikannya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.
Dalam pada itu, Ustaz Kazim menegaskan bahawa keputusannya untuk keluar daripada PAS tiada kaitan dengan pertemuannya dengan perdana menteri pada hari tersebut. Beliau menegaskan bahawa beliau sudah lama bersabar dengan tohmahan dan fitnah yang turut menjejaskan keluarganya.
“Bertahun-tahun saya sabar dengan fitnah yang dilemparkan oleh sahabat-sahabat, tetapi dalam dua tiga hari ini, saya rasa kesabaran saya telah sampai ke kemuncak. Ada yang panggil saya babi, anjing, barua. Saya ada ibu dan ayah, walaupun mereka telah meninggal dunia, jika masih hidup, bagaimana perasaan ibu saya jika anaknya dipanggil babi?
“Adakah ini perjuangan PAS yang kononnya memperjuangkan Islam dan perpaduan umat, tetapi kerjanya memfitnah dan menghina saya, sedangkan mereka masih menganggap saya sebagai ahli mereka? Kemudian ada pula kenyataan mengatakan saya dipecat, tetapi belum ada surat pemecatan. Kalau mengurus seorang ahli pun sudah timbul masalah besar, bagaimana hendak menguruskan sebuah negara?” katanya.
Sementara itu, berhubung status pelantikannya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ustaz Kazim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada perdana menteri, yang juga Presiden Umno, untuk membuat pengumuman rasmi.
“Saya berbesar hati, tetapi saya serahkan kepada PM untuk membuat pengumuman rasmi. Saya rasa beliau lebih layak untuk membuat pengumuman,” katanya.
Ustaz Kazim berkata selepas pertemuan tersebut, beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Najib, terutamanya mengenai peranan yang boleh beliau mainkan sebagai anggota Majlis Tertinggi.
“Apabila Datuk Seri terangkan bagaimana golongan agama boleh memainkan peranan dalam Umno dan agensi lain, saya rasa itu satu pendekatan yang baik. Pihak luar perlu melihatnya secara positif kerana orang jemput kita untuk mendengar nasihat.
“Penerangan yang diberikan sangat memuaskan, dan saya yakin apa yang rakyat perlukan akan diberi perhatian. Saya juga suarakan pandangan rakyat biasa, dan Datuk Seri mendengar dengan sangat terbuka. Ada dua tiga perkara yang saya lihat memberi kesan kepada Datuk Seri, dan saya yakin akan ada perubahan selepas ini,” katanya.
Pada 29 November lepas, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mengumumkan bahawa Ustaz Kazim adalah antara sembilan anggota Majlis Tertinggi yang dilantik bagi melengkapkan 13 anggota Majlis Tertinggi tambahan yang diputuskan oleh presiden Umno mengikut Fasa 9.2.8 Perlembagaan Umno.
BACA: Penghargaan atas jasa, Sarjan Misai terima gaji sepanjang hayat dari Skop Production