Kehilangan insan yang tersayang pastinya sangat berbekas di hati lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kedua ibu dan bapa.
Lebih menyakitkan diri ialah apabila berjauhan dan menerima berita kematian itu sehinggakan tidak sempat untuk bertemu jenazah buat kali terakhir.
Seorang lelaki menceritakan kisahnya yang kehilangan kedua ibu bapanya ketika bekerja di atas kapal hingga perkongsiannya tular di laman sosial.
“Aku bertugas sebagai kapten kapal yang pertama. Semasa mak aku meninggal,
aku atas kapal ke Portugal dan hampir setahun tak jejak rumah.
“Aku sedih sangat sebab daripada kecil mak aku selalu cakap nak aku uruskan perkara berkaitan pengebumian dia… aku yang paling manja dan rapat dengan parents,” luahnya sayu.
Lelaki berusia 34 tahun itu turut berkongsi walaupun sedang bersedih atas kehilangan ibu tersayang, dia dikejutkan pula dengan pemergian bapanya sebulan selepas peristiwa itu berlaku.
Dirinya mengakui amat susah untuk menerima kenyataan kerana bergelar anak bongsu dan tidak pernah berpisah sehingga menamatkan pengajian.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, kapten kapal ini terus diuji dengan masalah rumahtangganya apabila isteri tersayang terbukti curang di belakangnya berkali-kali.
“Dalam fasa aku bersedih dan cuba untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan mak ayah, aku menerima WhatsApp daripada jiran yang bertanyakan sama ada aku sudah pulang atau belum kerana sering terdengar suara lelaki dari rumah aku.
“Selang beberapa hari selepas dimaklumkan aku tiada di rumah, dia hubungi sekali lagi dan nyatakan setiap hari ada lelaki datang ke rumah aku.
“Masa tu aku positif yang datang tu abang ipar sebab isteri aku rapat dengan abang dia. Aku suruh jiran tangkap gambar atau video tunjuk pada aku,” ujarnya yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga.
Walaupun kerisauan masih melanda, namun dia tetap bersikap biasa apabila tidak bertanyakan isteri dan masih meneruskan kerjanya.
Apabila melihat rakaman video yang dikirim oleh jirannya, dia mengakui amat terkejut kerana individu itu bukanlah abang iparnya malah lelaki yang tidak dikenali.
“Hati aku terus rasa berdebar lepas tengok, tak rasa nak bekerja sebab huru-hara dalam kepala. Semasa nak bergerak dari Portugal ke Vietnam, kapal aku bergesel dengan sebuah kapal tunda.
“Insiden yang berlaku menyebabkan kapal tak boleh berlayar dan mekanik pun minta tempoh lima hingga tujuh hari untuk baik pulih kebocoran kecil yang berlaku.
“Tempoh yang ada tu aku ambil keputusan untuk pulang Malaysia. Aku sampai dalam pukul 10 pagi dan terus hubungi jiran untuk minta dia teman aku masuk rumah,” ujarnya.
Ketika menunggu jirannya sampai, dia terkejut apabila melihat seorang lelaki mencium pipi isterinya.
“Isteri aku terus lari masuk rumah, aku soal siasat lelaki tu dan dia jujur segala-galanya… dah empat bulan mereka duduk bersama.
“Kemudian aku jumpa isteri di dalam rumah dan tanya kenapa dia buat macam tu. Dia cakap sebab sunyi sedangkan dia yang pilih nak kahwin dengan aku walaupun dah bagitahu kerja aku,” luahnya sedih.
Susulan kejadian itu, dia nekad menukar segala kata laluan media sosial dan mengambil keputusan untuk terus berpindah ke portugal untuk meneruskan kehidupan.
Baca juga: Apalah nasib aku, dah 3 kali berkahwin di sempadan semuanya dengan suami orang