Hidup di bandar seperti Singapura memang mewah, tetapi seiring dengan kemewahan tersebut datanglah kos sara hidup yang tinggi,
Bukan hanya untuk warga asing tetapi juga untuk rakyat tempatan. Oleh itu, Johor kini menjadi pilihan alternatif.
Ini adalah realiti yang dihadapi oleh kebanyakan penduduk Singapura, di mana sebahagian besar kini melihat
Johor Bahru sebagai lokasi dengan kos hidup yang jauh lebih rendah.
Menurut laporan dari The Independent SG, dalam satu tinjauan yang melibatkan 1,548 rakyat Singapura, 55% daripada
responden menyatakan mereka bersedia untuk berpindah ke Johor Bahru untuk mengurangkan beban kewangan, manakala baki 45% memilih untuk kekal di Singapura.
Apa yang menarik perhatian ialah ramai yang telah membuat keputusan untuk berpindah ke Johor Bahru dan berulang-alik ke Singapura untuk bekerja.
Johor Bahru, yang hanya dipisahkan oleh Tambak Johor, menjadi lokasi alternatif yang sangat menguntungkan dari segi kewangan.
Berdasarkan data dari Numbeo, kos sara hidup di Johor Bahru, tanpa mengambil kira sewa, adalah 66.1% lebih rendah berbanding Singapura. Jika kos sewa diambil kira, perbezaannya menjadi lebih ketara, di mana Johor Bahru menawarkan kos sara hidup 74.6% lebih rendah.
Harga sewa di Johor Bahru adalah 87.3% lebih murah daripada Singapura. Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas, harga makanan di restoran di Johor Bahru adalah 59.1% lebih murah, manakala harga barangan runcit pula 52.3% lebih rendah.
Bayangkan betapa besar penjimatan yang boleh dinikmati, terutamanya bagi mereka yang masih berulang-alik bekerja di Singapura dengan gaji dalam dolar Singapura tetapi menikmati kos hidup yang jauh lebih rendah di Johor Bahru.