Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau telah mengeluarkan arahan
kepada semua pengarah Mara untuk mengambil tindakan tanpa berlengah.
“Hari ini saya sendiri melawat plaza Mara di bandar Kluang, Johor, dan mendapati banyak lot ditutup
serta keadaan bangunan yang suram sehingga tidak menarik perhatian masyarakat.
“Tiada lagi kompromi kepada penyewa-penyewa yang culas, dan saya minta semua pengarah Mara negeri dan daerah
untuk mengambil tindakan segera,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Rabu.
Pada 19 Julai lalu, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, tindakan mahkamah menanti penyewa premis Mara yang masih berdegil melanggar perjanjian sewaan.
Jelas beliau, tindakan mahkamah ini bertujuan untuk mendapatkan perintah pengosongan dan mengeluarkan saman terhadap penyewa terbabit.
Susulan itu, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa beliau akan mentransformasikan premis perniagaan Mara dengan imej baharu yang lebih segar dan menarik.
“Bukan itu sahaja, transformasi premis Mara juga akan membuka peluang kepada usahawan-usahawan baharu yang ingin menapak dan membangunkan perniagaan mereka,” ujarnya.