Terbongkar 5 produk kosmetik terkenal guna bahan beracun

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengesan

lima produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual dan tidak dibenarkan dijual di pasaran.

KKM menyatakan bahawa produk tersebut mengandungi bahan-bahan seperti hydroquinone, clindamycin, metronidazole, tretinoin, dan betamethasone 17-valerate,

yang merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Bahan-bahan ini hanya boleh digunakan dengan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.

Terbongkar 5 produk kosmetik terkenal guna bahan beracun

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan daripada ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Lima produk itu adalah Karisma Aqua Birds Nest; 2 Skin Revolution – PAP – Blemish Control Serum; Skin Revolution – PAP – Blemish Fade Cream; Ufora Daily Treatment 10g; dan Dnars Gold Debalen Cream (Night),” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

KKM menyarankan agar penjual dan pengedar produk berkenaan menghentikan penjualan serta pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk tersebut adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.

Dalam kenyataan yang sama, KKM turut menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut untuk menghentikan penggunaannya.

Mereka juga disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” ujarnya.

BACA: Jangan main beli je, ini beza minyak wangi EDT dan EDP ramai tak perasan