Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti 160 jalan tikus yang sering digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa Kedah, Perlis, dan Kelantan
adalah negeri yang mempunyai paling banyak laluan tikus daripada jumlah tersebut.
“Warga asing yang berada di dalam negara kita boleh dikelaskan kepada beberapa kategori.
Pertama, mereka yang masuk tanpa sebarang dokumen. Kita mempunyai 160 jalan tikus dan 140 pintu masuk rasmi.
“Jalan tikus paling banyak terletak di Kedah, Perlis, dan Kelantan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan, saya maklum tentang pintu masuk jalan tikus ini, iaitu laluan yang tidak diwartakan oleh kedua-dua negara yang bersempadan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai strategi yang dirangka bagi membendung kemasukan mereka melalui laluan tikus di perairan dan kewujudan sindiket penyeludupan PATI.
Tambah Saifuddin, kategori kedua adalah warga asing yang memasuki negara dengan pas kerja yang sah, dikenali sebagai pas lawatan kerja sementara.
Jumlah mereka kini mencecah 2.3 juta, dan kerajaan mempunyai rekod majikan, keberadaan, dan profil mereka.
“Tetapi, kita ada siling. Kementerian Ekonomi menghadkan, tidak boleh melepasi 2.55 juta menjelang akhir tahun ini. Di KDN dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang bertindak sebagai kementerian pengawal selia, kami dipandu oleh siling ini.
“Ini bermakna, kita mempunyai defisit kira-kira 300,000 hingga 400,000 orang lagi bagi yang sah. Namun, ada juga yang tinggal lebih masa. Ini bermakna, pas kerja mereka tamat tetapi memilih untuk tinggal lebih lama, yang mana salah dari segi akta imigresen.
“Apabila penguatkuasaan dilakukan, kita akan menangkap, mengenakan kompaun, mengusir, dan menyenarai hitam mereka. Terdapat juga yang menyalahgunakan pas, itu juga satu kesalahan di bawah akta imigresen,” jelasnya.
BACA: Kaki vape berdepan dengan Akta 852, ini hukuman yang terkandung dalam Akta 852