Baru-baru ini, media sosial kecoh mengenai satu panggilan yang dibuat semasa siaran langsung dalam sebuah program audio siar di TikTok.
Seorang wanita mendedahkan bahawa dia dijadikan perempuan simpanan oleh ah long untuk menyelesaikan hutang bapanya.
Menurut wanita yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu, bapanya berhutang sebanyak RM20,000
Dan telah memberikan alamat rumah di kampung, selain menjadikan ibu dan adik-beradiknya sebagai penjamin.
Kisah tersebut mendapat perhatian ramai, sehingga ada yang merasa risau dan meminta agar bantuan segera diberikan kepadanya
Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan berkenaan dakwaan tersebut.
Namun, dakwaan itu didapati tidak benar sama sekali kerana ia tidak pernah berlaku, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata semakan mendapati hos yang mengendalikan wawancara itu juga telah membuat satu laporan polis berkaitan panggilan tersebut.
Jelasnya, wanita berusia 26 tahun itu berbuat demikian hanya untuk meluahkan perasaannya.
Polis mengesan wanita tersebut pada jam 10.50 malam tadi dan menjumpainya selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara.
“Wanita itu ditemui dalam keadaan selamat di sebuah rumah di SPU. Hasil soal siasat mendapati dia telah menghubungi program audio siar itu pada 26 Julai lalu.
“Kejadian yang didakwa, iaitu dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh ah long di ‘rumah merah’, adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku. Wanita itu telah mereka cerita tersebut sekadar untuk meluahkan perasaan,” katanya.
Bagaimanapun, wanita itu mengakui telah membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pinjaman wang. Namun, dia menerima ugutan daripada syarikat terbabit kerana gagal membayar hutang tersebut.
Oleh itu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
BACA: Bakal lonjak daya saing, Oracle umum labur 6.5 bilion USD di Malaysia