Kedai Al-Ikhsan sering menjadi pilihan masyarakat untuk mendapatkan peralatan atau pakaian sukan berkualiti pada harga yang mampu milik.
Di sebalik kejayaannya menembusi pasaran di seluruh negara, ramai mungkin belum mengetahui
sosok di belakangnya yang mengendalikan bisnes ini hingga ke hari ini.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @FahdiGhazali,
Beliau menemu ramah pengasas empayar Al-Ikhsan, Tuan Haji Ali Hassan.
Ikon bisnes yang hebat ini berkongsi bahawa beliau menawarkan pelbagai barangan seperti kasut sukan dengan harga serendah RM100 hingga ribuan ringgit.
Kedai ini tidak hanya menjual alat atau pakaian berjenama terkenal, malah juga memperkenalkan jenama yang kurang popular tetapi berkualiti dan berfungsi dengan baik.
“Yang mahal ada di Football Republic, yang sederhana di Al-Ikhsan Sports, dan yang lebih murah ada di Sport Warehouse.
“Jadi kalau anak-anak orang datang dan berjanji nak beli di Al-Ikhsan, aku (merujuk kepada dirinya) pun dah happy,” kongsinya.
Walaupun dituduh membawa barangan tiruan dan menerima teguran bahawa Al-Ikhsan tidak tampak premium seperti kedai sukan terkenal lain, Tuan Haji Ali Hassan menegaskan bahawa dia menjual barangan tulen sambil memenuhi keperluan keluarga yang kurang berkemampuan tetapi ingin mendapatkan barangan berkualiti.
“Jadi orang datang ke kedai kita untuk beli barang itu, kita sediakan barang yang ada manfaat,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa dia tidak mahu menaikkan harga sejak 30 tahun yang lalu kerana pernah merasai fasa hidup yang sukar sebelum mencapai kejayaan seperti sekarang.
“Kerana aku tahu, aku ada perasaan sebab aku juga susah dulu. Bila aku nak beli barang, inilah kesusahan yang dialami,” kongsinya tentang sebab tidak mahu menaikkan harga barangan.
Dengan menjalankan bisnes sebegini, beliau merasa bahagia kerana dapat memenuhi keperluan segmen masyarakat yang berpendapatan rendah dan, dalam erti kata lain, menyumbang kembali kepada masyarakat tanpa hanya memfokuskan kepada keuntungan.
Perkongsian video itu menjadi perhatian netizen dan ramai yang berterima kasih kepada pengasas Al-Ikhsan yang sanggup menawarkan alat dan pakaian sukan dengan harga yang berpatutan untuk memenuhi keperluan keluarga yang susah.
Ramai juga mengimbau pengalaman memakai kasut berkualiti dengan harga mampu milik yang ditawarkan oleh Al-Ikhsan semasa belajar di kolej dan sebagainya.
Bagi mereka, kehadiran Al-Ikhsan membuka peluang untuk bersukan bagi setiap segmen masyarakat.
BACA: Rupanya ini sebab kenapa Israel tiba-tiba serang selatan Lubnan