Tuah ayam boleh dilihat, tuah manusia siapa yang tahu.
Tiada siapa yang mampu menentukan untung nasib seseorang biarpun dilahirkan sebagai cucu kepada orang nelayan.
Itulah Shairan Huzani Husain yang mesra dipanggil ‘Pakcik Shell’ apabila berjaya menjadi salah seorang Pengarah Urusan
Di sebuah syarikat pengeluar minyak terbesar dalam Malaysia, iaitu Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd.
Dalam erti kata lain, Pakcik Shell boss paling besar lah.
Beliau mula menjawat jawatan tersebut pada September 2016 selepas bekerja dengan syarikat minyak itu sejak tahun 1993.
Anak kelahiran Kelantan ini sebenarnya mempunyai permulaan hidup yang sangat sederhana kami berkongsikan serba sedikit perjalanan hidup Shairan.
Shairan membesar bersama datuknya di kampung Kedai Buloh, iaitu sebuah kampung nelayan di pinggir Sungai Kelantan, berhampiran dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bahru.
Datuk beliau merupakan seorang nelayan manakala neneknya bekerja sebagai penjual bunga sanggul.
Beliau dibesarkan di perkampungan nelayan itu sehingga berusia enam tahun.
Setelah itu, beliau tinggal bersama ibu bapanya dan memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Kota Bharu. Shairan Huzani merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik.
Segala usaha dan penat lelah Shairan selama lima tahun di sekolah berasrama penuh itu berbaloi apabila ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level di Grantham College di United Kingdom.
Pernah bekerja cuci pinggan demi duit poket
Beliau kemudiannya menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang ekonomi di Leeds University.
Menurut Shairan, beliau terpaksa melakukan kerja sambilan seperti mencuci pinggan sebuah restoran di United Kingdom demi mencari duit poket.
Sungguhpun begitu, lelaki berusia 56 tahun ini mengatakan bahawa pekerjaan tersebut membuatnya berasa syukur dengan apa yang beliau miliki.
“Bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di UK mengajar saya erti kemanusiaan dan kehidupan.
“Banyak yang saya lihat dan pelajari dari pengembaraan saya itu,” katanya.
Pada masa yang sama, Shairan sentiasa fokus dalam pelajaran sehinggakan apabila pihak Shell datang menawarkan pakej biasiswa, beliau dengan mudah telah terpilih.
Perubahan datang mendadak kepada Shairan pada tahun 1993.
“Satu hari di dalam tahun 1993, seperti biasa, saya akan terbangun dari tidur tetapi pada hari itu, terus terdetik di hati saya yang England ini terlalu sejuk cuacanya dan saya tiba-tiba terlalu rindukan kampung halaman. Hari itu, saya bertekad untuk berhenti kerja dan balik,” cerita Shairan.
Beliau terus memohon untuk berhenti kerja dan pulang ke Malaysia tanpa sebarang perancangan yang kukuh mengenai kerjaya beliau ketika pulang ke tanah air nanti.
“Saya memang nekad untuk balik!” ujarnya mengetap gigi.
Shairan yakin rezeki sentiasa ada untuk mereka yang berusaha dan setibanya beliau di Malaysia, Shairan memohon jawatan di syarikat minyak Shell Malaysia.
Beliau berjaya menyandang satu jawatan di Shell Chemical, syarikat yang menghasilkan produk ubat nyamuk Shelltox zaman dahulu.
Sejak dari itu, Shairan tidak pernah memandang ke belakang dalam kerjayanya bersama Shell.
Sepanjang kerjaya bersama syarikat Shell, beliau pernah ditugaskan untuk menjaga stesen-stesen minyak Shell di dalam negara dan antara yang pertama ialah stesen minyak Shell di Glenmarie.
“Saya pernah mencuci tandas di stesen tersebut pun,” luah Shairan sambil ketawa.
Membangun Syarikat Shell Di India
Royal Dutch Shell yang merupakan syarikat induk Shell pernah memberikannya satu tugas yang berat, iaitu memulakan perniagaan Shell di negara India.
Beliau memujuk isteri dan keluarga untuk mengikutnya berhijrah ke India. Beliau menceritakan usaha memujuk isteri dan keluarga dengan menunjukkan gambar-gambar menarik poskad negara tersebut.
“Sampai di lapangan terbang Bangalore, isterinya berkata gambar di dalam poskad tersebut langsung tidak sama dengan keadaan sebenar!” gelak Shairan mengenangkan peristiwa tersebut.
Itulah permulaan Shell di India dan sehingga kini, nama lesen perniagaan Shell di situ masih mempunyai nama beliau.
“Bukan mudah untuk membuka syarikat minyak asing di India kerana negara itu mempunyai empat syarikat minyak nasional,” luah Shairan.
Selepas empat tahun, 30 stesen minyak Shell berjaya dibangunkan di negara itu dan Shairan akhirnya pulang ke Malaysia.
Kejayaan anak Melayu itu dipandang tinggi oleh Shell induk dan Shairan terus diminta untuk menjaga rangkaian stesen Shell global.
Baca juga:5 rahsia kerja kerajaan yang ramai penjawat awam senyapkan dari pengetahuan umum