Personaliti media sosial dan aktivis Farah Lee berkongsi detik cemas semasa penerbangan ke Tashkent, Uzbekistan
apabila pesawat dinaiki mengalami gelora udara (turbulence) mengejut.
Menurut Farah, pesawat itu terbang rendah sewaktu kejadian dan keadaan ketika itu sangat mencemaskan.
“Semua orang terangkat tinggi, yang berdiri jatuh terduduk.
Cuak macam perasaan sedang naik solero shot dekat taman tema tu.
“Ada budak-budak yang menangis gigil sebab terkejut. Dia drop je, bukan kapal gegar macam normal gelora udara tu. Dia punya drop tinggi tak boleh buat main,” katanya.
Farah berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada petang Selasa.
Bercerita lanjut, Farah bersyukur selepas dia dan penumpang lain selamat mendarat dan merasakan seperti diberi peluang kedua untuk hidup.
Malah influencer itu berkata dia mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan selepas keluar daripada pesawat berkenaan.
“Alhamdulillah sekarang kami dah selamat sampai Tashkent. Masa kejadian tadi, memang reda hayat sampai setakat itu sahaja.
“Masa kapal naik semula baru rasa macam diberi peluang hidup yang baru.
“Punya kuat terhempap, keluar sahaja dari pesawat punggung saya sakit disebabkan kejadian yang berlaku, malah siku saya juga lebam” jelasnya.
Sementara itu, Farah memberitahu dia tidak dapat membayangkan perasaan mangsa yang pernah terlibat dalam nahas pesawat dan memohon doa agar Allah sentiasa melindungi semua umat Islam.