Kakitangan Eagle’s Nest SkyWalk yang dilaporkan terjatuh semasa menjalankan kerja penyelenggaraan ditemui meninggal dunia di lereng Gunung Mat Chincang.
Mayat Khairul Nizam Jaafar, 41 tahun, yang bertugas sebagai juruteknik di lokasi pelancongan tersebut ditemukan
pada pukul 5.11 petang selepas mangsa terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata pemeriksaan serta pengesahan kematian dilakukan oleh pihak hospital.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya di sini hari ini.
Beliau juga menambah bahawa mangsa baru sahaja bekerja sebagai juruteknik di situ sejak tiga bulan lalu.
Terdahulu, menurut laporan Utusan Onlien seorang juruteknik dikhuatiri hilang selepas terjatuh semasa melakukan kerja penyelenggaraan di platform kaca.
Ketua Zon 4 Langkawi JBPM Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.15 tengah hari memaklumkan bahawa mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 hingga 50 meter.
Eagle’s Nest SkyWalk merupakan tarikan terbaharu di puncak Gunung Mat Chincang yang beroperasi bersebelahan dengan perkhidmatan kereta kabel Langkawi.
BACA: Pakar cadang perketat syarat kelulusan hutang, ini punca yang ramai rakyat Malaysia terjebak