Ubah hari cuti Johor, MP Pasir Gudang tidak setuju dengan Pemangku Sultan Johor?

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mengkritik keputusan untuk menukar cuti hujung minggu di negeri Johor kembali kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Melalui satu hantaran di Facebook, pemimpin PKR itu menyatakan bahawa Jumaat adalah hari yang mulia

Dalam budaya Islam dan mempunyai makna yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Johor tidak akan mundur jika Jumaat dikekalkan sebagai hari cuti, yang memberi penghormatan tinggi kepada rakyat Islam di Johor.

“Perubahan untuk menjadikan Jumaat sebagai hari bekerja dan Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Ubah hari cuti Johor, MP Pasir Gudang tidak setuju dengan Pemangku Sultan Johor?

Namun, perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnya,” katanya.

Hassan juga menegaskan bahawa rakyat Johor yang bukan Islam turut memahami budaya dan sejarah politik Johor yang menjadikan Jumaat sebagai hari cuti.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengumumkan bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail memaklumkan bahawa cadangan itu telah mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Hassan menegaskan bahawa cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor bukan sekadar cuti biasa, tetapi mempunyai makna dari segi sejarah dan budaya negeri itu.

Justeru, katanya, perubahan yang bakal berlaku ini akan melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor sendiri.

Sebagai seorang rakyat biasa dan ahli parlimen dari Johor, dia merasa tidak dapat berbuat banyak mengenai keputusan ini. Namun, dia menegaskan haknya untuk bersuara tidak boleh ditekan atau dirampas.

“Dengan rendah hati, sebagai anak jati Johor, seorang anak Melayu yang berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah serta budaya Johor,

saya ingin menyatakan rasa tidak setuju dengan keputusan ini yang ingin menukar Jumaat menjadi hari bekerja dan menggantikan hari Ahad sebagai hari cuti, seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini,” katanya.

Johor sebelum ini telah beberapa kali mengubah cuti hujung minggunya. Negeri di selatan semenanjung itu melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad buat kali pertama pada tahun 1994 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.

Namun, pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim “mengembalikan tradisi” dengan menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat yang dianggap penghulu segala hari dan pengiktirafan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail juga mengarahkan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, dan mufti Johor mengadakan perbincangan mengenai keputusan terbaru ini.

Baginda berharap semua syarikat, baik swasta mahupun kerajaan, memberikan ruang yang cukup untuk waktu solat Jumaat.

BACA: