Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, memberi nasihat
kepada pasangan agar tidak menyebarkan aib serta kekurangan selepas berlakunya perpisahan.
Dalam satu perkongsian di laman X miliknya, Dr Zulkifli menyatakan bahawa Islam mengajarkan umatnya
untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.
“Dalam perjalanan perkahwinan, tidak dapat dinafikan bahawa wujud badai dan ombak yang kadang-kadang menguji kekuatan sesebuah hubungan. Setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran ini.
“Namun, Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian dibenarkan, ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah dalam kalangan yang halal.
Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.
“Jika perpisahan tidak dapat dielakkan, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan.
“Sebagai manusia, kita digalakkan untuk mengelakkan diri daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan. Islam mengajarkan kita untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.
“Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan. Namun, ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun akan diangkat-angkat. Justeru, setelah berpisah, berilah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baru dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam,” tulis bekas mufti itu.
Masyarakat kini sedang hangat membincangkan mengenai perkahwinan yang terbina selama tujuh tahun antara pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura, yang berakhir dengan perceraian talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, baru-baru ini.
Fattah dan Fazura saling berbalas kenyataan selepas proses perceraian mereka selesai, menjadikan perkara ini sebagai topik perbincangan di kalangan masyarakat.
Tidak lama kemudian, seorang lagi selebriti popular, Emma Maembong, turut mengumumkan perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.
BACA: Ubah hari cuti Johor, MP Pasir Gudang tidak setuju dengan Pemangku Sultan Johor?