“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan Ketua Pemuda UMNO,
Datuk Dr Akmal Saleh adalah kenyataan peribadi mereka,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu menyatakan bahawa tiada keperluan bagi parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk meminta maaf, sebaliknya perlu ada saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Ujarnya, isu berkenaan tidak seharusnya timbul dan meminta agar pemimpin UMNO tidak mencetuskan provokasi mengenai perkara itu.
“Selagi presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, maka kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka adalah bersifat peribadi.
“Tidak perlu meminta maaf; jangan usik rakan komponen dalam parti, dan kita harus saling menghormati antara satu sama lain. Yang penting, kita mesti mengekalkan keadaan situasi Kerajaan Perpaduan sekarang dan jangan timbulkan sebarang masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Rejuvensasi Rakan NADMA 2020 semasa Konvensyen Rakan NADMA 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini, Jazlan mendesak Pakatan Harapan (PH) memohon maaf secara terbuka kepada UMNO atas serangan yang dialami selama berdekad terhadap parti itu.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyatakan bahawa perbezaan pandangan antara pemimpin parti komponen mesti diketepikan, terutama ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa akan datang.
“Tadi, sebelum dan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri, serta bersama presiden, pengerusi, dan setiausaha parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan ini.
“Kita perlu mengetepikan perbezaan pandangan ini dan mesti bergerak ke hadapan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa sahaja, termasuk kemungkinan PRK atau PRU,” jelasnya.
BACA: Padah dibiar berkeliaran tanpa pengawasan, 12 ekor kerbau di lelong murah-murah