Siapa sangka kutip sampah pekerjaan paling dihormati di Jepun, gaji buat ramai terkejut!

Oleh ISMAIL YAHYA

Berada di luar negara bukan sekadar untuk melancong. Kadangkala, kita ke sana untuk belajar atau bekerja.

Apa pun tujuannya, pasti ada sesuatu yang menarik perhatian kita, terutamanya budaya dan cara hidup yang berbeza dengan di Malaysia.

Di Malaysia, pekerjaan sebagai pengutip sampah sering dipandang rendah.

Selain dianggap kotor kerana melibatkan sampah yang berbau busuk, gaji yang ditawarkan juga tidak seberapa.

Namun, di Jepun, situasinya berbeza sama sekali. Pekerjaan ini bukan sahaja dihormati, malah menawarkan gaji yang lumayan.

Siapa sangka kutip sampah pekerjaan paling dihormati di Jepun, gaji buat ramai terkejut!

Vokalis kumpulan Margasatwa, Kimal, berkongsi pengalamannya bekerja sebagai pengutip sampah di Jepun menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok miliknya.

Menurut Kimal, kerja ini di Jepun dipanggil “Health and Safety Engineer” dan bukan sekadar “garbage man” seperti yang sering didengari.

Setelah pernah bekerja sambilan sebagai pengutip sampah di Jepun, lelaki ini berkongsi pengalamannya sebagai gomi shushu, yang juga dikenali sebagai Health and Safety Engineer.

Berdasarkan rekod Economic Research Institute, pekerjaan sebagai pengutip sampah di Jepun dibayar sekitar RM128 sejam.

“Dia dalam Ichi man. Ichi man ni 10 ribu Yen. Menariknya, mereka tidak memanggilnya garbage man atau trash man. Mereka panggil Health Engineer.

“Purata boleh dapat dalam RM90 ribu lebih setahun. Jika dikira dalam sebulan, boleh dapat RM7 ribu ke RM8 ribu.

“Sebab di Jepun ini terdapat skop kerja yang dipanggil 3D. Dirty, dangerous, and difficult. Salah satunya adalah kerja mengangkat sampah ini,” katanya.

Selain itu, tambah Kimal, budaya kerja dalam pengurusan sampah di Jepun amat berbeza dengan di Malaysia.

Lori dua tan yang digunakan untuk mengutip sampah dari satu rumah ke rumah lain sentiasa dalam keadaan bersih.

Malah, pekerja tidak dibenarkan berdiri di belakang lori semasa ia bergerak, sesuatu yang biasa kita lihat di Malaysia.

“Aku tanya juga, kenapa tak boleh berdiri di belakang? Senang nak turun kan. Dia jawab, sorewa dame dayo. Benda itu bahaya. Tak boleh,” ujarnya lagi.

BACA: ‘Tak perlu minta maaf, selagi presiden parti tak keluar kenyataan, itu kenyataan peribadi mereka’ – Zahid Hamidi