“Bila aku niat nak beli kereta, suami tak bagi, rupanya dia harap duit aku juga”

Oleh ISMAIL YAHYA

Buat mereka yang berkahwin, tidak kiralah jika gaji isteri tinggi berpuluh kali ganda sekalipun, jangan pernah ambil kesempatan.

Ini tidak, disuruh isteri bayar itu ini sampai nak menyekat duit isteri, bimbang dibazirkan untuk benda lain.

Seorang wanita rimas dengan sikap suami yang terlalu menyibuk akan gajinya,

malah segala perbelanjaan dikawal ketat meskipun menggunakan duit sendiri.

Saya baru setahun berkahwin dan bekerja sebagai penjawat awam serta ada buat kerja sambilan.

“Bila aku niat nak beli kereta, suami tak bagi, rupanya dia harap duit aku juga"

Suami pula bekerja dalam sektor swasta dan pendapatan saya lebih besar lima kali ganda berbanding suami.

Bab gaji inilah yang buat saya rimas dengan suami, sebab dia akan tanya setiap sen duit saya yang keluar. Sangat terperinci persoalannya. Dia ingat setiap amaun yang saya sebut.

Suami akan buat kira-kira terperinci untuk perbelanjaan saya malah dia nak tahu berapa duit saya bagi kepada ibu bapa dan adik saya.

Sebelum nak beli apa-apa barang walaupun barang kecil sekalipun, dia mesti nak tahu. Kalau tak, akan jadi gaduh. Saya rasa rimas dengan hal remeh begini.

Setiap kali ke rumah saudara maranya atau saya, dia akan suruh bagi duit kepada anak-anak buah yang kecil-kecil.

Saya ingat nak bagi RM10 macam tu tapi akhirnya dia persoalkan kenapa bagi begitu sedikit.

Saya jadi tak ikhlas. Apabila nampak muka saya berubah, suami akan cakap, “Kau tu gaji besar, janganlah kedekut sangat.”

Saya dah lama nak beli kereta tapi suami belum bagi sebab katanya konon nak kurangkan dulu hutang sedangkan saya tahu kemampuan kewangan saya.

Saya akui kesilapan saya tak beli kereta sebelum berkahwin. Sepatutnya saya ada harta sendiri sebelum berkahwin.

Setiap kali gaji, mesti kena maklum dekat suami. Gaji kerja sambilan pun sama, mesti bagitahu amaun yang diperoleh dengan tepat.

Sebelum berkahwin, saya independent. Setelah berkahwin, suami sangat memantau aliran duit saya.

Dia selalu cakap, “Susah kalau takde duit kecemasan, kereta rosak dan macam-macam lagi. Aku ni tak pandai simpan duit, harap kau je la.” Saya tak suka dengar ayat ini.

Dia memantau kewangan saya dan berharap saya menjadi tabung kecemasannya sedangkan ini tanggungjawab bersama.

Saya harap saya bertahan dengan cara suami. Perkara sebegini kerap membuat hubungan kami tegang.

Baca juga: Siapa sangka kutip sampah pekerjaan paling dihormati di Jepun, gaji buat ramai terkejut!