Ramai perlekeh servis lipat kain kini menjadi kerjaya rupanya

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Siapa sangka, mereka yang mengambil upah melipat dan menggosok pakaian boleh meraih pendapatan lumayan sehingga mencecah RM7,000 sebulan.

Perkara tersebut didedahkan menerusi satu hantaran tular di platform X yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial yang dikenali sebagai Temah Ulu Banat.

Dalam hantaran itu, pelayar X berkenaan turut berkongsi tangkap layar memaparkan ruangan komen di akaun Instagram milik ejen yang mengambil upah melipat pakaian.

Menurut ejen dikenali sebagai Nurul Atikah Khairi itu, mereka yang menceburi bidang perkhidmatan tersebut boleh memperoleh pendapatan mencecah RM1,000 sebulan.

Lebih mengejutkan, ejen yang bukan sekadar mengisi masa lapang sebaliknya betul-betul komited boleh meraih RM7,000 sebulan dengan hanya melipat dan menggosok pakaian.

Ramai perlekeh servis lipat kain kini menjadi kerjaya rupanya

“Selalunya kalau ambil upah dalam satu minggu tiga kali, boleh dapat RM500 sehingga RM700 sebulan. Tetapi jika lebih rajin, boleh meraih pendapatan bulanan melebihi RM1,000.

“Ejen berprestasi tinggi yang berkhidmat di dalam bidang ini memperoleh pendapatan RM7,000 bulan lalu. Ejen itu mengambil kontrak dengan inap desa,” kongsi Atikah dalam ruangan komen itu.

Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna tidak hairan mengapa sesetengah orang sanggup mengeluarkan wang untuk membayar upah melipat kain.

Walaupun mudah, namun tugas melipat dan menggosok pakaian sebenarnya memakan masa untuk mereka yang sibuk bekerja atau mempunyai banyak tugasan lain perlu diselesaikan.

Situasi ini membuka peluang perniagaan kepada mereka yang menawarkan perkhidmatan tersebut kerana orang ramai terutama penduduk di kawasan bandar sanggup membayar dari melakukan tugas itu.

“Dekat tempat saya juga ada perkhidmatan lipat baju dan cuci pakaian di dobi layan diri. Khidmat seterika juga ada tetapi perlu bayar cas tambahan. Memudahkan kepada ibu-ibu yang bekerjaya,” kata seorang pengguna.

“Melipat kain dan menggosok pakaian sememangnya tugas yang leceh. Bagus kalau ada orang yang tawarkan khidmat (lipat kain) ini.” Ujar pengguna lain memuji mereka yang pintar memburu peluang.

Baca juga: Patutlah tak jumpa tong sampah, rupanya ini amalan rakyat Jepun