PKR berpendapat bahawa tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk memberikan pandangan peribadi mengenai apa yang berlaku selepas PRU ke-15 yang berakhir pada 2022.
“Mandat kerajaan perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.
Oleh itu, adalah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk membawa naratif masing-masing,”
kata Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, melalui teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini malam tadi.
Fuziah sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin,
dalam satu program audio siar (podcast) mengenai kejadian yang berlaku pada malam keputusan PRU bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk.
Dalam PRU yang berlangsung pada 19 November 2022 itu, Shamsul Iskandar dipertaruhkan oleh PH untuk mencabar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, di Bagan Datuk.
Walaupun Ahmad Zahid merupakan pemimpin tertinggi Umno dan pernah memegang posisi kanan dalam kerajaan, beliau hampir dikalahkan. Shamsul Iskandar dan Ahmad Zahid hanya dipisahkan oleh 348 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di situ ialah Dr. Faiz Na’aman yang mewakili PN, dan calon bebas, Tawfik Ismail, dengan masing-masing memperoleh 8,822 undi dan 226 undi.
Dalam audio siar baru-baru ini, Shamsul Iskandar mendakwa beliau sengaja tidak mencabar keputusan tersebut kerana ada “gambaran yang lebih besar” dan menerima panggilan telefon daripada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, pada jam 2 pagi.
Bekas naib presiden PKR itu juga mendakwa telah mendapat jaminan bahawa kerajaan perpaduan akan dibentuk selepas itu.
Namun, pendedahan bekas ahli Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka itu mendapat kritikan, termasuk daripada kalangan ahli kerajaan.
Misalnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, meminta Shamsul Iskandar untuk menghormati proses demokrasi serta mengelakkan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan spekulasi negatif.
BACA: Anwar Ibrahim terlupa pesan Shamsul Iskandar supaya jaga mulut?