Mak ayah perasan atau tidak, anak-anak yang baru pulang dari sekolah sering kali mempunyai bau yang kurang menyenangkan pada badan mereka.
Bau badan busuk ini mungkin menyerupai bau telur rosak, bateri hangus, bau matahari, bau duit syiling, bau hanyir, bau masam, dan bau reban ayam!
Lantas, ramai ibu bapa, khususnya, tertanya-tanya mengapa fenomena bau ini berlaku kepada semua anak yang pulang dari sekolah.
Sedangkan, anak sudah mandi dengan elok dan memakai pakaian wangi sebelum pergi ke sekolah.
Menurut perkongsian dari Dr. WanShare di laman Instagramnya, sebab pertama perkara ini berlaku adalah perubahan
hormon dalam tubuh anak-anak, terutama ketika mereka mula memasuki usia remaja. Ini boleh menyebabkan kelenjar keringat mereka berfungsi dengan lebih aktif.
Kelenjar keringat apokrin yang terletak di kawasan berbulu seperti ketiak mula mengeluarkan lebih banyak keringat ketika mereka aktif sepanjang hari. Keringat atau peluh ini, apabila bertemu dengan bakteria di kulit, akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan!
Sebab kedua adalah aktiviti fizikal yang berlebihan di sekolah, seperti berlari, bermain, dan kelas yang tiada pendingin hawa, yang membuatkan mereka berpeluh dengan lebih banyak. Peluh yang terkumpul dan tidak segera ditukar bajunya sudah pasti menyebabkan bau yang tidak enak.
Sebab ketiga, menurut doktor, adalah diet atau pemakanan anak-anak yang juga mempengaruhi bau badan mereka. Makanan tertentu, terutama bawang putih dan rempah, boleh menyumbang kepada bau badan yang dihasilkan oleh tubuh.
Selain itu, jenis kain baju sekolah yang kurang menyerap peluh juga boleh menyebabkan bakteria mudah membiak, seterusnya menghasilkan bau yang aneh pada anak-anak.
BACA: ‘Dah lah tak pakai tudung’ Cikgu bukan Islam mengajar jawi undang perhatian ramai