Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni Malaysia.
Sepanjang hayatnya, beliau telah meninggalkan legasi yang kekal dalam industri hiburan tempatan.
Beliau bukan sahaja terkenal sebagai pelakon, tetapi juga sebagai pengarah, penyanyi, dan komposer yang berbakat.
Selain itu, Tan Sri P. Ramlee turut berperanan sebagai salah seorang pelakon dalam filem arahan beliau sendiri seperti filem komedi bersiri Bujang Lapok.
Filem tersebut turut dibintangi beberapa pelakon terkemuka yang lain, antaranya S. Shamsuddin dan Aziz Satar.
Mungkin ramai di antara kita masih mengingati babak P. Ramlee sebagai Ketua Penyamun yang membaca mantera untuk membuka atau menutup pintu gua persembunyian mereka dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
Mantera tersebut bukanlah mantera yang sebenar. Sebaliknya, ia adalah frasa dalam bahasa Jawa yang mempunyai maksud melucukan apabila diterjemah ke dalam bahasa Melayu.
Untuk pengetahuan pembaca, ketika hendak membuka pintu gua yang menjadi markas mereka, P. Ramlee akan menyebut frasa “niat enson matakaji semar ngiseng.” Manakala, ketika ingin menutup pintu gua pula, beliau menyebut “rampo ngiseng semar tilem.”
Menerusi hantaran Movie Addict MY di Facebook, individu ini telah mendedahkan ‘rahsia’ di sebalik mantera ini yang pada awalnya dianggap mengarut.
“Niat enson matakaji semar ngiseng” bermaksud “niat saya nak intai orang buang air besar,” manakala “rampo ngiseng semar tilem” bermaksud “lepas buang air besar orang tidur.”
Rata-rata pengguna media sosial memuji kebijaksanaan Allahyarham dalam menghasilkan pelbagai dialog yang diingati sepanjang zaman.
Semua pasti tahu bahawa setiap filem yang dihasilkan oleh P. Ramlee mempunyai sindiran sinis yang penuh pengajaran kepada masyarakat. Malah, setiap dialog terkadang diucap secara spontan namun tetap menerapkan unsur didikan secara tersirat.