Jet pejuang punca bunyi dentuman kuat di Ipoh?

Oleh GEMILANGDAILY

Semalam, penduduk sekitar Ipoh dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat pada pukul 11.06 pagi yang dirasai seperti gegaran gempa bumi.

Beberapa pengguna media sosial juga mendakwa gegaran itu dapat dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim, hingga Gugusan Manjoi.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan bahawa kejadian tersebut bukan berpunca daripada

aktiviti letupan kuari atau latihan daripada kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

Pihak polis masih menjalankan siasatan, tetapi penganalisis pertahanan, Zaki Salleh, berpendapat bunyi dentuman kuat itu mungkin berpunca daripada ‘Sonic Boom’ (ledakan sonik).

Jet pejuang punca bunyi dentuman kuat di Ipoh?

Menurut kenyataannya dalam Berita Harian, ledakan sonik adalah bunyi kuat yang dihasilkan daripada gelombang kejutan yang dicipta oleh objek yang bergerak melalui udara, seperti jet pejuang, apabila mencapai kelajuan lebih pantas daripada kelajuan bunyi.

“Ledakan sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik. Bunyi dentuman sonik ini tidak menyebabkan kesan kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan di udara.

“Kebiasaannya, protokol ketenteraan mengehadkan penerbangan supersonik kepada operasi di atas air bagi meminimumkan kesan ke atas kawasan berpenduduk,” katanya.

Pada tahun 2020, bunyi letupan kuat juga pernah dirasai di Ipoh apabila seorang penduduk mendakwa melihat beberapa jet pejuang TUDM melalui kawasan itu. Kejadian serupa pernah berlaku di Australia pada Ogos lalu, menurut laporan Mediacorp.

Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) menyatakan bahawa hasil awal siasatan ke atas bunyi sonik kuat yang dirasai di Perth mungkin berpunca daripada jet pejuangnya. Ketika itu, empat pesawat F-15 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) sedang menjalankan latihan di luar sebuah pangkalan tentera udara di Australia Barat.

Media Australia melaporkan bahawa bunyi seperti letupan itu kedengaran dan dirasai oleh ribuan penduduk Perth, menyebabkan tingkap-tingkap di beberapa kawasan bandar Australia bergegar

BACA:  Ikut kepakaran masing-masing, Indonesia lantik Taufiq Hidayat timbalan menteri belia dan sukan