Kepala koyak dipukul guru, pelajar tingkatan 1 menang saman RM90,000

Oleh NADIA HARON

Seorang remaja memenangi saman selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas gurunya membayar ganti rugi berjumlah RM90,000.

Memetik laporan Kosmo! Online, bapa kepada remaja tersebut, Mohd. Amirul Azdi Md. Yusuf, 41,

Beliau meluahkan rasa syukur atas kemenangan ini selepas penantian mereka selama lima tahun.

“Allah mendengar doa kami, dan penantian selama lima tahun ini berbaloi,” katanya.

Mohd. Amirul Azdi meluahkan rasa syukur apabila keputusan berpihak kepada keluarganya sejak kes anak lelakinya yang dipukul oleh seorang bekas guru sekolah dengan penyapu pada tahun 2019.

Kepala koyak dipukul guru, pelajar tingkatan 1 menang saman RM90,000

Keputusan tersebut dibuat susulan tindakan guru berkenaan yang memukul remaja tersebut, yang ketika itu berusia lapan tahun, sehingga memerlukan lima jahitan di kepala.

Menurut Mohd. Amirul Azdi, keluarganya menghadapi pelbagai dugaan sejak kejadian yang menimpa anaknya, yang kini berusia 13 tahun.

“Selepas insiden itu, anak saya yang ketika itu berusia lapan tahun mengalami trauma dan dipinggirkan oleh rakan-rakannya di sekolah selama dua tahun.

“Kami hanya mahu menuntut keadilan, dan akhirnya ia dibalas dengan keputusan mahkamah tadi,” katanya dengan rasa sebak. Beliau juga memaklumkan bahawa anaknya kini sedang bersekolah di Johor.

Tak relevan guna penyapu untuk takutkan murid

Sebelum ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan saman yang dikemukakan oleh remaja tersebut terhadap tiga pihak, termasuk guru besar sekolah yang sama dan kerajaan Malaysia.

Remaja tersebut, selaku plaintif yang diwakili oleh bapanya, Mohd. Amirul Azdi, memfailkan saman terhadap bekas guru wanita berusia 60 tahun yang dinamakan sebagai defendan pertama.

“Mahkamah berpandangan bahawa tindakan defendan menggunakan penyapu untuk menakutkan murid agar mengikut arahan adalah tidak relevan pada era ini.

“Kes ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di sekolah. Ia diharap menjadi pengajaran supaya tidak berulang lagi.

“Pihak sekolah sepatutnya menggunakan pendekatan yang lebih sesuai dalam menangani situasi ini. Insiden tersebut lebih berkaitan dengan pertikaian antara orang dewasa dan kanak-kanak.

“Rekod disiplin plaintif ketika kejadian, yang hanya seorang murid tahun dua, tidak relevan,” katanya.

Menurut penyataan tuntutan pada 17 Oktober 2022, plaintif menyatakan bahawa ketika dia mahu kembali ke tempat duduknya di dalam kelas, guru berkenaan tiba-tiba memukul kepalanya dengan penyapu pada pukul 3 petang, 18 Oktober 2019.

Plaintif mendakwa dia mengalami kecederaan dan pendarahan yang banyak, menyebabkan defendan menariknya ke meja guru dan menekan kepalanya dengan tisu basah untuk menghentikan pendarahan.

Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Gombak, sebelum ibu bapanya dihubungi untuk dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Bapa plaintif kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 6.45 petang hari yang sama, dan memohon penjelasan daripada guru tersebut yang mengatakan mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduknya ketika sesi pembelajaran.

Menurutnya, alasan yang diberikan adalah tidak munasabah, bercanggah dengan undang-undang, dan tidak berperikemanusiaan.

BACA: 50 bakal juruterbang di halau dari penginapan, rupanya syarikat bumiputera seleweng dana MARA