Penduduk di United Kingdom (UK) digesa untuk tidak membeli baka kucing bully baharu yang tidak berbulu
kerana haiwan tersebut terdedah kepada masalah kesihatan yang serius, lapor portal berita Metro UK kelmarin.
Kucing ini pertama kali dibiakkan di Amerika Syarikat dan mendapat pengikut yang ramai di media sosial sebelum dibawa ke UK.
Baka tersebut tidak mempunyai bulu dan memiliki kaki pendek seperti anjing bully XL yang kini telah diharamkan.
Kucing bully mengalami masalah kepekaan kulit terhadap cahaya matahari dan juga masalah pernafasan,
manakala pergerakannya tidak selincah kucing lain. Jangka hayatnya juga lebih pendek.
Pakar tingkah laku haiwan dari Universiti Queen’s di Belfast, Dr. Grace Carroll, meminta orang ramai untuk mempertimbangkan dengan teliti sebelum membeli kucing bully.
“Pengguna memiliki kuasa beli. Apabila kita tidak membeli baka yang mempunyai sifat ekstrem, kita boleh menghalang pembiak baka daripada mengutamakan ciri estetika berbanding kesihatan dan kebajikan haiwan,” katanya.