Lapan ajaran sedang dipantau secara menyeluruh untuk mengawasi kemungkinan kesesatan pengikut-pengikutnya,
kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau menyatakan bahawa terdapat 12 ajaran lain yang sedang dalam siasatan dan risikan pihak berkuasa sekiranya didapati melanggar akidah dan ajaran Islam.
“Kita sedang memantau secara dekat lapan ajaran di seluruh Malaysia… ini sedang dipantau secara komprehensif.
Selain itu, terdapat 12 ajaran lagi yang sedang kita buat risikan dan siasatan,” katanya di Dewan Rakyat.
Zulkifli memberikan jawapan kepada soalan tambahan dari Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin mengetahui hasil penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama negeri dalam usaha membanteras ajaran sesat di negara ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat untuk mengenal pasti pelan tindakan yang menyeluruh bagi menangani isu-isu yang mencemar akidah umat Islam.
“Bukan sahaja ajaran GISBH yang diberi tumpuan, tetapi kita juga sedang memantau beberapa ajaran yang berkemungkinan sesat.
“Jawatankuasa telah bermesyuarat pada 1 Oktober bersama majlis agama negeri yang dipengerusikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kita melihat aspek pemulihan, perkahwinan, bantuan zakat, pusat pemulihan, dan modulnya. Ini sudah mempunyai satu kerangka yang baik,” katanya.
BACA: Yang OKU gigih merangkak ambil wuduk demi solat awal waktu, yang sempurna tubuh badan buat apa?