Tular di media sosial Xiaohongshu mengenai seorang pelancong China yang meluahkan rasa kecewa terhadap pengalaman buruknya
semasa melancong ke Malaysia dan bertekad untuk tidak datang ke negara ini lagi.
Pelancong tersebut berasa kecewa kerana mengalami kesukaran akibat ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina dan masalah memahami bahasa Inggeris tempatan.
Dia berkongsi pengalaman mengecewakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ingin membeli tiket KLIA Ekspres.
Perkhidmatan KLIA Ekspres menyediakan sambungan terus tanpa henti dari KLIA ke Kuala Lumpur Sentral dengan harga RM55 untuk seorang dewasa.
Namun, pelancong itu menyangka harga tambang adalah RM8.50 untuk perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur. Harga tersebut sebenarnya adalah untuk KLIA Transit, sebuah perkhidmatan berbeza yang berhenti di beberapa stesen dengan tambang yang lebih rendah.
Oleh kerana kurang faham tentang sistem tiket tersebut, dia meminta bantuan daripada seorang kakitangan. Walaupun dibantu untuk membuat pembayaran, dia terkejut apabila jumlah yang perlu dibayar adalah RM110 untuk dua tiket KLIA Ekspres.
Lebih mengecewakan, pelancong tersebut menyatakan bahawa jika dia mengetahui harga tambang terlebih dahulu, dia lebih rela menggunakan Grab ke pusat bandar dengan kos yang sama.
“Saya hampir tidak memahami bahasa Inggeris, dan sebutan orang tempatan sukar untuk saya fahami. Saya salah faham bahawa ia adalah perkhidmatan yang murah, tetapi rupanya adalah laluan ekspres yang mahal,” katanya.
Dia juga mengakui kecewa kerana tidak menemui kakitangan KLIA yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin. Dia cuba mendapatkan bayaran balik, tetapi gagal kerana halangan bahasa.
Kecewa dengan apa yang disifatkannya sebagai layanan yang kurang memuaskan, pelancong ini membuat laporan polis, tetapi diberitahu bahawa ia bukan masalah yang boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Hantaran tersebut mendapat perhatian netizen Malaysia, dengan pelbagai reaksi dan komen. Ada yang bersimpati dengan pengalaman pelancong ini, manakala ada juga yang menegaskan bahawa sebagai pelancong, dia perlu lebih bersedia dan memahami sistem tempatan.
Isu ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina turut mencetuskan perbincangan hangat, terutamanya dalam konteks negara pelbagai budaya seperti Malaysia.
BACA: Ahli parlimen PN cadang tukar nama Laut China Selatan undang sindiran pakar keselamatan