Perasan tak cuaca di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini terasa sangat panas, sampai berpeluh walaupun hanya duduk di dalam rumah?
Ramai yang mungkin hairan, sebab sebelum ini Kuala Lumpur dan Selangor sering menerima hujan hampir setiap hari.
Mari kita lihat apa sebenarnya yang berlaku.
Suhu Panas di Malaysia Cecah 37 Darjah Celcius Selama Tiga Hari Berturut-turut
Menerusi gambar peta yang dimuat naik oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiga negeri
Dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan suhu yang agak tinggi, sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Dalam laporan yang dikeluarkan pada 23 Oktober jam 4 petang, lokasi yang terlibat ialah:
-Larut, Perak
-Matang, Perak
-Gombak, Selangor
-Petaling, Selangor
-Putrajaya, Wilayah Persekutuan
-Maran, Pahang
Berdasarkan peta tersebut, kawasan yang terjejas ditandakan dengan warna kuning, menandakan cuaca panas Tahap 1, iaitu suhu maksimum 35 hingga 37 darjah Celsius yang berlaku sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Ribut Di Filipina Faktor Cuaca Panas Di Malaysia
Seorang pengguna di X (@IzzraifHarz) menjelaskan bahawa cuaca panas di beberapa tempat di Malaysia berkaitan dengan keadaan cuaca di Filipina.
Pada masa ini, Filipina dilanda Ribut Tropika Trami (Kristine), yang bergerak kuat ke arah barat. Ribut ini menyebabkan Malaysia mengalami dua jenis cuaca di lokasi berbeza: cuaca kering di Semenanjung, manakala Sabah mengalami hujan lebih kerap.
Bagaimana ribut di Filipina memberi kesan kepada Malaysia? Semasa ribut melanda Filipina, kelembapan di kawasan Semenanjung Malaysia ‘ditarik’ ke arah ribut untuk memperkuatkannya. Akibatnya, beberapa tempat di Malaysia kekurangan awan, menyebabkan cuaca panas dan kering. Namun, hujan masih boleh berlaku, terutamanya di Pantai Timur.
Sabah pula menerima cuaca berbeza kerana ia terletak lebih dekat dengan laluan ribut, menyebabkan angin kuat, hujan berterusan, dan laut bergelora akibat jumlah awan yang lebih banyak.
Ramai Rakyat Malaysia Mengeluh Tentang Cuaca Panas
Cuaca panas dan kering yang melanda beberapa lokasi di Malaysia, khususnya di Lembah Klang, telah menarik perhatian ramai. Ramai yang mengeluh kerana suhu yang tinggi, dengan ada yang tidur dalam keadaan basah akibat berpeluh.
Tips Memilih Warna Baju Untuk Cuaca Panas
Kajian yang dilakukan di Jepun oleh Institut Kebangsaan Pengajian Alam Sekitar menunjukkan warna pakaian yang kurang menyerap haba dan sesuai dipakai ketika cuaca panas. Selain jenis kain, warna juga memainkan peranan penting untuk keselesaan dalam cuaca panas.
Hasil kajian menunjukkan warna putih adalah yang paling ‘sejuk’, diikuti dengan warna cerah seperti kelabu dan kuning yang mencatatkan suhu hampir sama dengan cuaca sekeliling, iaitu 30 darjah Celsius. Sebaliknya, warna hitam dan hijau mencatatkan suhu paling tinggi, melebihi 50 darjah Celsius.
BACA: Tak sangka! Ingatkan Ku Li je rupanya ada 4 kerabat raja yang terjebak dalam politik Malaysia