Sedar-sedar dapat surat bangkrap, ini 5 kesilapan pengguna kad kredit selalu buat

Oleh NADIA HARON

Kad kredit sememangnya memudahkan urusan jual beli dan kini sangat mudah diperoleh.

Namun, ia juga menjadi punca ramai orang diisytiharkan muflis akibat kesilapan dalam penggunaannya.

Sebenarnya, jika kad kredit digunakan dengan bijak, banyak manfaat yang boleh diperoleh, termasuk tawaran pelancongan, diskaun, atau rebat tunai.

Menerusi hantaran di laman X, Nik Shariff atau lebih dikenali sebagai Pok Su berkongsi

lima kesalahan yang sering dilakukan pemilik kad kredit sehingga akhirnya terbeban dengan hutang.

Sedar-sedar dapat surat bangkrap, ini 5 kesilapan pengguna kad kredit selalu buat

1. Lambat Membuat Bayaran Balik

Kad kredit mempunyai caj kelewatan yang tinggi. Kelewatan bayaran akan menjejaskan skor kredit anda.

2. Memaksimumkan Had Kredit

Ramai pengguna suka menggunakan kad kredit sehingga mencapai had maksimum. Pada awalnya, mereka beranggapan boleh membayar balik, namun ramai akhirnya terkandas kerana amaun yang terlalu tinggi. Sebaiknya, elakkan daripada menggunakan lebih 30 peratus daripada had kredit anda.

3. Membayar Minimum Sahaja

Kebanyakan mereka yang mengalami masalah tunggakan hingga muflis adalah mereka yang sering membuat bayaran minimum. Selepas itu, mereka terus menggunakan kad kredit sehingga hutang tidak berkurang. Pengurusan kewangan yang baik dapat mengelakkan masalah ini.

4. Mengambil Tunai Kredit

Sebahagian pengguna kad kredit mengambil wang tunai ketika perlu, namun ‘cash advance’ kad kredit datang dengan caj pengurusan dan kadar bunga yang tinggi.

5. Mengabaikan Penyata Kad Kredit dan Penipuan

Ramai pengguna kad kredit tidak menyemak penyata yang dikeluarkan. Ini menyebabkan mereka terlepas pandang transaksi mencurigakan, walaupun nilainya kecil. Anda disarankan menyemak penyata dan segera membuat aduan jika terdapat transaksi mencurigakan.

Jadi, jadilah pengguna kad kredit yang bijak dengan memantau perbelanjaan dan membayar hutang tepat pada masanya.

BACA : Penganjur tampil mohon maaf dan jelaskan Isu kibaran bendera China