Pada awal tahun ini, media pro-Ukraine telah menuduh kerajaan Rusia mengambil beberapa rakyat Malaysia
sebagai tentera upahan asing dalam konflik di negara mereka.
Isu ini menjadi bualan di internet semula apabila dua keping gambar tular yang menunjukkan
Dokumen rasmi Malaysia yang didakwa ditemui di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Dokumen yang ditemui termasuk kad pengenalan MyKad dan lesen memandu berdaftar dari Malaysia.
Difahamkan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas tentera Rusia berjaya menawan kubu tentera Ukraine di Livadny (Ukraine: Levadne), Zaporizhia.
Berdasarkan pemerhatian terhadap gambar-gambar yang tular tersebut, lesen memandu milik individu yang beralamat di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia adalah sah sehingga Februari 2025.
Memetik laman AirTimes, gambar dokumen ini telah tular di beberapa saluran Telegram yang dikendalikan oleh pemerhati perang pro-Rusia, dan kami juga menemui gambar tersebut di platform X yang dikongsikan secara meluas oleh pengguna.
Selain rakyat Malaysia, turut dijumpai pasport serta dokumen identiti beberapa individu dari negara lain seperti Turkiye dan Croatia.
Tambahnya, satu akaun di platform media sosial VK yang dikendalikan oleh individu yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Wagner menyatakan dokumen tersebut diperoleh oleh pihak 336th Guards Naval Infantry Brigade (336th Marine Brigade).
“Baru-baru ini, anggota penyerang dari 336th Marine Brigade telah menyerbu beberapa kubu kuat musuh termasuk di Livadny,” kata pengendali akaun terbabit, sambil menambah bahawa tentera Rusia telah berjaya menumpaskan elemen tentera Ukraine serta pejuang asing di kawasan itu.
Setakat ini, status warga tempatan yang tular itu masih belum dapat dipastikan sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya.
BACA: Ibu mengaku tak bersalah letak bayi usia 1 bulan dalam oven! Alasan tersalah letak