Pelik minyak kereta cepat habis walaupun hanya pergi kerja? Hanya periksa komponen ini boleh tahu masalah apa

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Bagi mereka yang sering memandu ke tempat kerja atau destinasi tetap,

kadang-kadang anda mungkin perasan bahawa penggunaan minyak tiba-tiba meningkat daripada biasa.

Jika tiada masa untuk bertanya kepada pakar mekanik kerana jadual yang sibuk, cuba semak beberapa tanda yang dikongsikan oleh RS Borneo Trading di Facebook.

Masalah ini mungkin berpunca daripada gelung pencucuh atau coil plug yang tidak berfungsi dengan baik.

Berikut adalah lima tanda yang mungkin menunjukkan kerosakan gelung pencucuh:

Pelik minyak kereta cepat habis walaupun hanya pergi kerja? Hanya periksa komponen ini boleh tahu masalah apa

Enjin ‘mati’ secara tiba-tiba

Enjin kereta boleh mati tanpa amaran, sama ada ketika sedang dipandu, berhenti, atau sewaktu membrek.

Keadaan ini berlaku apabila arus elektrik dari gelung pencucuh tidak stabil, menyebabkan palam pencucuh gagal membakar bahan api dalam enjin dengan betul.

Bau asap ekzos di dalam kereta

Kerosakan pada gelung pencucuh boleh menyebabkan enjin menjadi terbeban, mengakibatkan asap berlebihan yang mungkin masuk ke dalam kabin kereta. Walaupun terdapat sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan asap ini, kerosakan pada gelung pencucuh adalah salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada masalah tersebut.

Enjin menjadi semput

Tanda ini dapat dikesan apabila anda menekan pedal minyak tetapi kereta tidak bergerak seperti biasa. Ia menandakan bahawa kereta kehilangan kuasa kerana gelung pencucuh yang rosak tidak dapat berfungsi dengan betul, menyebabkan campuran petrol dan udara dalam enjin tidak terbakar dengan sempurna.

Gegaran kuat pada enjin

Jika anda merasakan gegaran yang kuat ketika enjin dihidupkan atau sewaktu memandu, ini mungkin disebabkan oleh gelung pencucuh yang sudah rosak. Keadaan ini adalah serupa dengan enjin yang menjadi semput dan tidak berfungsi dengan lancar.

Lampu enjin menyala

Ramai yang rasa cemas apabila lampu amaran enjin menyala. Sebelum terburu-buru ke bengkel, cuba periksa gelung pencucuh terlebih dahulu.

Jika masalah ini berterusan, barulah dapatkan bantuan mekanik pakar kerana kerosakan gelung pencucuh juga boleh menyebabkan kerosakan pada komponen lain.

Dengan memeriksa tanda-tanda ini, anda mungkin dapat menyelesaikan masalah awal dan menjimatkan kos pembaikan.

BACA: Esok hari penentuan sama ada Najib Razak dibebaskan atau diarah membela diri