Pemasangan kain rentang di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1 di sini, yang menyatakan
sudah empat bulan sekolah itu tiada guru besar dan penolong kanan (PK), mengejutkan ramai pihak.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Burhanuddin Ruslan,
berkata tindakan tersebut disedari oleh pihak sekolah pada awal pagi Isnin ketika mereka tiba di sana.
Menurut beliau, pihaknya maklum tentang kekosongan jawatan guru besar dan penolong kanan pentadbiran di sekolah itu.
“Kami sedang berbincang untuk menyelesaikan isu ini, tetapi saya kesal dengan tindakan individu yang menggantung kain rentang tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut berharap agar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dapat membantu menyelesaikan isu ini secepat mungkin.
“PIBG mengalu-alukan perbincangan dari semua pihak agar isu ini dapat diselesaikan secara berhemah tanpa tindakan melulu,” tambahnya.
Burhanuddin menjelaskan bahawa sekolah itu telah kosong jawatan guru besar sejak kira-kira empat bulan selepas guru besar terdahulu berpindah ke sekolah lain di bandar ini.
Beliau tidak menafikan ketiadaan kepimpinan utama di sekolah telah menyebabkan banyak perkara tidak dapat dijalankan secara efisien, termasuk keputusan-keputusan penting.
Sebelum ini, tular gambar kain rentang tersebut yang turut mendakwa sekolah berkenaan berdepan kekurangan peruntukan, keadaan tandas dan musala yang teruk, serta bilik darjah yang uzur.
BACA: Betul ke ketumbit naik sebab ‘skodeng’? Doktor jelaskan sebab sebenar