Semakin lama pengalaman pelakon veteran disia-siakan untuk membayar pelakon baru yang mutu lakonan kurang memberangsangkan.
Tapi pelakon yang kurang pengalaman ini jugalah yang banyak menghiasi kaca televisyen dek kerana pengaruh media sosial.
Ini menyebabkan ramai pelakon lebih senior dibayar rendah dan ia menyebabkan kekecewaan buat mereka yang sudah lama berada dalam industri seni.
Seniwati, Datuk Rosnani Jamil meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir syarikat produksi yang memandang rendah soal bayaran kepada artis veteran.
Bagi pelakon dan pengarah berusia 88 tahun, enam dekad berada dalam industri, dia tidak akan pernah menerima tawaran dengan bayaran rendah lapor Harian Metro.
“Tawaran lakonan itu masih banyak, tapi bayangkan ada yang tawarkan saya bayaran RM1,000 untuk satu babak.”
“Bukan saya sahaja, tapi ramai artis veteran yang mereka tak hormat. Ada yang hanya terima RM50 hingga RM60. Ada diantara pelakon veteran yang susah, jadi tolonglah.
“Ada satu produksi besar panggil saya untuk bercakap mengenai seseorang yang mempunyai nama besar dalam industri. Program itu dijual, bukan untuk stesen televisyen seperti RTM atau TV3.
“Kalau untuk RTM, tidak dibayar pun saya tidak kisah, tapi ini adalah bisnes. Mereka tawarkan saya bayaran sebanyak RM500, maaflah…,” ujarnya seperti dipetik Harian Metro.
Jelasnya yang lebih mesra dipanggil Mak Nani, perkara ini dialami oleh ramai artis veteran yang terpaksa menerima bayaran rendah untuk kelangsungan hidup.
“Ini bukan mengenai saya sahaja, tapi pelakon veteran lain turut berdepan masalah sama. Mereka susah, jadi mahu atau tidak kena terima sahaja bayaran itu.
“Kalau satu hari bayaran antara RM70 hingga RM100 pun mereka terima. Tapi, artis ‘top’ dapat bayaran puluhan ribu.
“Saya kalau sudah bercakap mengenai filem, darah saya ‘meggelegak’,” katanya.
Baca juga: Manfaat makan telur ayam kampung, no.7 perempuan mesti suka!