Kamala Harris bersaing sengit dengan Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung hari ini mengikut waktu tempatan.
Walaupun perhatian dunia terfokus kepada persaingan antara Naib Presiden AS dari Demokrat dan bekas Presiden mewakili Republikan itu,
pertandingan ini turut menyaksikan beberapa calon dari parti ketiga dan calon Bebas tetap memberi cabaran, walaupun peluang mereka dilihat tipis.
Berikut adalah calon-calon yang bertanding dalam perebutan ke Rumah Putih kali ini:
Kamala Harris (Parti Demokrat)
Harris, 60, dinamakan sebagai calon Demokrat setelah Joe Biden memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden AS. Beliau ialah bekas Senator AS, Peguam Negara California, dan pendakwa raya San Francisco.
Sekiranya menang pilihan raya kali ini, Harris akan menjadi Presiden wanita pertama dalam sejarah 248 tahun AS.
Tinjauan pendapat menunjukkan persaingan sengit antara Harris dan Trump. Berdasarkan tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan pada 29 Oktober lalu, Harris mendahului Trump dengan 44 peratus berbanding 43 peratus di peringkat kebangsaan.
Tinjauan lain menunjukkan Harris bersama rakan gandingannya, Tim Walz, Gabenor Minnesota, menghadapi persaingan ketat di tujuh negeri ‘medan tempur’ yang dijangka menjadi penentu keputusan pilihan raya kali ini – Wisconsin, Pennsylvania, Georgia, Arizona, Carolina Utara, Michigan, dan Nevada.
Kumpulan buruh utama seperti Kesatuan Antarabangsa Pekerja Perkhidmatan, Pekerja Auto Bersatu serta Persekutuan Guru-guru Amerika dilaporkan menyokong beliau. Bekas pegawai tentera, eksekutif syarikat, dan beberapa mantan pegawai utama Republikan turut memberi sokongan.
Donald Trump (Parti Republikan)
Trump, 78, memenangi penamaan calon parti Republikan pada Julai lalu untuk bertanding kali ketiga dalam perebutan jawatan Presiden AS.
Pada pilihan raya 2020, Trump gagal mempertahankan jawatannya apabila tewas kepada Joe Biden, namun beliau berterusan mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya tersebut.
Trump ialah bekas Presiden AS pertama yang disabitkan atas kesalahan jenayah di New York City pada Mei lalu, namun beliau menafikan sebarang salah laku.
Trump memilih Senator AS, JD Vance dari Ohio sebagai rakan gandingannya dan enggan memberi komitmen untuk menerima keputusan pilihan raya atau menolak kemungkinan keganasan politik, sambil beliau dan ahli Republikan bersiap sedia mencabar potensi kekalahan.
Dakwaannya tentang penipuan pengundian di salah satu negeri ‘medan tempur’, Pennsylvania, menimbulkan kebimbangan bahawa beliau mungkin sekali lagi berusaha mengubah keputusan pilihan raya jika beliau kalah pada 2024.
National Fraternal Order of Police dan kumpulan polis lain dilaporkan menyokong Trump dalam pilihan raya kali ini.
Chase Oliver (Parti Libertarian)
Oliver, 39, pernah bertanding untuk kerusi Senat negeri Georgia pada 2022 dan memperoleh dua peratus undi.
Jill Stein (Parti Hijau)
Stein, 74, seorang doktor, pernah menjadi calon Parti Hijau pada 2016 dan kini kembali bertanding dalam pilihan raya kali ini.
Cornel West (Bebas)
West, 71, seorang aktivis politik, ahli falsafah dan akademik. Pada awalnya, beliau bertanding sebagai calon Parti Hijau. Namun pada Oktober lalu, beliau menyatakan:
“Rakyat mahu dasar yang bagus berbanding politik partisan,” lalu mengisytiharkan dirinya sebagai calon Bebas.
BACA: Singki tersumbat pastinya memeningkan kepala, dengan botol terpakai jadi penyelesaiannya