Gula-gula boleh rawat penyakit ‘adik longlai’, ini respon balas KKM

Oleh ISMAIL YAHYA

Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan bahawa produk gula-gula ginseng dari Malaysia,

iaitu ‘Kingu Ginseng Candy’, telah dikesan mengandungi racun berjadual, tadalafil, dan dijual di platform dalam talian, Lazada.

KKM menyatakan bahawa Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan,

dan saringan awal menunjukkan bahawa label produk tersebut tidak mematuhi keperluan pelabelan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Jelasnya, produk tersebut tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar, empunya hak untuk mengilang serta pengimport.

Gula-gula boleh rawat penyakit ‘adik longlai’, ini respon balas KKM

“Sehubungan itu, pihak Lazada telah diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk tersebut serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Agensi Makanan Singapura (SFA) telah mengeluarkan nasihat berkenaan produk Kingu Ginseng Candy yang didapati mengandungi tadalafil.

Tadalafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat masalah disfungsi ereksi, di mana seseorang menghadapi kesukaran untuk mencapai atau mengekalkan ereksi yang mencukupi untuk aktiviti seksual.

“Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya.

“Ini termasuk kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” ujarnya.

Ujarnya juga semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih memiliki stok produk ini diarahkan untuk menghentikan segera penjualan produk berkaitan.

“Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini pula perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan,” katanya.

Baca juga: Pilihanraya Amerika Syarikat jadi tumpuan dunia, ini senarai Presiden Amerika sejak penubuhannya